Terapi khelasi untuk penyakit kardiovaskular aterosklerotik (jantung dan peredaran darah)

Latar belakang

Aterosklerosis adalah disebabkan simpanan lemak yang menyebabkan penyempitan arteri seseorang dan menyekat aliran darah. Orang yang mempunyai arteri yang tersumbat lebih cenderung untuk mengalami angin ahmar, serangan jantung, dan penyempitan saluran darah di dalam kaki mereka. Terapi khelasi melibatkan memasukkan ke dalam aliran darah sesuatu bahan yang dipercayai mengeluarkan besi dari darah. Rawatan ini ditawarkan kepada orang dengan penyakit kardiovaskular aterosklerotik sebagai cara untuk memecahkan penyumbatan di dalam saluran darah mereka. Terapi khelasi dipraktikkan di beberapa tempat di seluruh dunia sebagai suatu bentuk perubatan alternatif, tetapi pada masa ini terdapat kekurangan pengetahuan mengenai rawatan ini. Lebih banyak maklumat diperlukan bagi memahami jika rawatan ini patut disyorkan dengan lebih meluas.

Keputusan utama

Ulasan ini menyertakan bukti dari lima kajian dengan jumlah 1993 peserta (terkini sehingga Ogos 2019). Tiga kajian mendaftarkan peserta dengan penyakit vaskular periferi, dan dua kajian menyertakan peserta dengan penyakit arteri koronari, salah satunya secara khusus merekrut orang yang pernah mengalami serangan jantung. Kesemua lima kajian membandingkan terapi khelasi dengan tiada rawatan atau plasebo. Hanya dua kajian (kedua-duanya menyertakan peserta dengan penyakit arteri koronari) melaporkan kematian daripada sebarang sebab, dan ini dilaporkan tiada perbezaan dalam kematian keseluruhan di antara mereka yang menerima terapi khelasi dan mereka yang tidak menerimanya. Hanya satu kajian (dalam orang dengan penyakit arteri koronari) melaporkan kematian kardiovaskular, dan kajian ini menemui tiada perbezaan antara risiko di antara mereka yang menjalani terapi khelasi dan mereka yang tidak menjalaninya. Dua kajian orang dengan penyakit arteri koronari melaporkan kadar serangan jantung dan angina, dan mendapati tiada perbezaan dalam risiko di antara peserta yang menjalani rawatan khelasi dan mereka yang tidak menjalaninya. Begitu juga, dua kajian (satu dengan orang dengan penyakit arteri koronari dan satu dengan orang dengan penyakit vaskular periferi) melaporkan kemungkinan untuk mendapat angin ahmar, dan mendapati tiada perbezaan yang jelas dalam kemungkinan ini di antara orang yang menerima atau tidak menerima rawatan khelasi. Dua kajian dalam orang dengan penyakit vaskular periferi menggunakan pengukuran aliran darah tidak langsung dikenali sebagai indeks tekanan buku lali-brakium (ABPI), atau indeks buku lali brakium. Kajian-kajian ini tidak menunjukkan sebarang perbezaan dalam ukuran ini di antara orang yang menerima terapi khelasi selama tiga atau enam bulan dan mereka yang tidak menerima rawatan tersebut. Juga tiada perbezaan yang jelas dalam jarak yang peserta dapat berjalan.

Kami tidak dapat menggabungkan pengukuran yang khusus bagi kualiti hidup dalam satu analisis. Melihat kepada dua kajian dalam orang dengan penyakit arteri koronari yang melaporkan hasil ini, tidak terdapat perbezaan dalam kualiti hidup yang dilaporkan orang yang menerima terapi khelasi dan mereka yang tidak menerima rawatan tersebut. Dua kajian melaporkan maklumat mengenai kejadian buruk, tetapi kami tidak dapat menggabungkannya dalam satu analisis kerana mereka melaporkannya dalam cara yang berbeza dan kejadian tersebut adalah berbeza. Walau bagaimanapun, orang yang menerima terapi khelasi kelihatan tidak mempunyai sebarang peningkatan dalam kejadian buruk kecil atau besar, berbanding dengan orang yang tidak menerima terapi tersebut.

Kepastian tentang bukti

Kami menganggap kebanyakan data yang kami temui adalah berkepastian rendah, kebanyakannya kerana terdapat sangat sedikit kajian yang menyediakan data. Walaupun kami melibatkan lima kajian, tidak semuanya melaporkan setiap hasil. Pada masa ini tiada bukti yang mencukupi mengenai kesan terapi khelasi terhadap penyumbatan saluran darah orang dengan penyakit kardiovaskular aterosklerotik (jantung dan peredaran darah).

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, ulasan ini tidak menemui sebarang perbezaan yang jelas di antara orang yang dirawat dengan khelasi dan orang yang diberi kawalan, bagi hasil yang telah kami nilaikan. Tiada hasil yang merangkumi lebih daripada dua kajian, maka adalah sukar pada masa ini untuk menentukan jika hasil tersebut adalah penemuan yang benar atau hanya kerana data yang tidak mencukupi. Kajian berkualiti tinggi lebih lanjut yang menumpukan hasil klinikal adalah diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information