Soalan ulasan
Matlamat kami adalah untuk mengulas bukti tentang kesan pemulihan kognitif terhadap daya tumpuan, keupayaan untuk melakukan aktiviti seharian, emosi dan kualiti kehidupan dalam kalangan mereka yang mengalami masalah kurang daya tumpuan selepas strok.
Latar belakang
Ramai yang mengalami masalah dengan daya tumpuan selepas strok. Mereka tidak berupaya untuk menumpukan perhatian untuk masa yang lama dan perhatian mereka senang diganggu, akibatnya mereka tidak dapat memberi tumpuan pada sesuatu tugasan dalam kehadiran maklumat yang tidak mencukupi. ‘Terapi pemulihan kognitif’ melibatkan penyediaan aktiviti-aktiviti terapeutik untuk mengurangkan keterukan masalah kognitif seperti daya tumpuan, disebabkan kecederaan pada otak. Manfaat pemulihan kognitif untuk masalah kurang daya tumpuan disebabkan strok masih tidak jelas.
Ciri-ciri kajian
Kami telah mengenalpasti enam kajian yang membandingkan pemulihan kognitif dengan kumpulan kawalan yang menerima rawatan seperti biasa (tetapi bukan pemulihan kognitif) untuk mereka yang mengalami masalah-masalah kurang daya tumpuan disebabkan strok. Kami tidak mengambil kira mendengar kepada musik, meditasi, yoga atau latihan kesedaran sebagai satu bentuk pemulihan kognitif. Enam kajian tersebut melibatkan 223 peserta yang menunjukkan masalah daya tumpuan atau melaporkan bahawa mereka mengalami masalah-masalah disebabkan strok sepertinya. Bukti adalah terkini sehingga Februari 2019.
Keputusan-keputusan utama
Kami mendapati tiada bukti bahawa pemulihan kognitif menambah baik daya tumpuan secara umum (global). Kumpulan yang menerima pemulihan kognitif menunjukkan prestasi lebih baik daripada kumpulan kawalan dalam tugasan yang memerlukan mereka untuk membahagikan perhatian. Walau bagaimanapun, manfaat ini hanya dapat dilihat sebaik sahaja selepas tempoh pemulihan dengan tiada cadangan bahawa manfaat-manfaat ini bertahan untuk jangka yang lebih lama. Tiada bukti yang mencadangkan bahawa pemulihan kognitif adalah bermanfaat untuk masalah-masalah daya tumpuan yang lain, atau aktiviti seharian, emosi atau kualiti kehidupan. Lebih banyak penyelidikan diperlukan.
Kepastian bukti
Kualiti metodologi kajian yang rendah hingga sederhana telah dikenal pasti, dan kekurangan kajian bermakna bahawa kami tidak boleh membuat kesimpulan yang tegas tentang kesan pemulihan kognitif untuk masalah daya tumpuan disebabkan strok.
Diterjemahkan oleh Nicole Fong Wan June (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Fairuz Fadzilah Rahim (RCSI & UCD Malaysia campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi nicole@ms.pmc.edu.my