Adakah kaedah perubatan untuk menamatkan kehamilan pada peringkat awal kandungan berkesan dan adakah ia mengakibatkan kesan-kesan yang tidak diingini?

Mesej utama
- Pengguguran kandungan menggunakan kaedah perubatan adalah cara yang selamat dan berkesan untuk menamatkan kehamilan dalam tempoh tiga bulan pertama.

- Mifepristone digabungkan dengan misoprostol adalah cara yang lebih berkesan berbanding dengan menggunakan ubat-ubatan ini secara berasingan.

- Misoprostol lebih berkesan apabila dimasukkan ke dalam faraj/vagina berbanding ditelan/diambil secara oral, dan cara ini lebih selesa berbanding dengan meletakkannya di bawah lidah atau di sebelah dalam pipi.

Apakah dia,pengguguran kandungan secara kaedah perubatan?

Pengguguran kandungan secara kaedah perubatan adalah kaedah yang menggunakan satu atau beberapa gabungan ubat-ubatan untuk menamatkan kehamilan. Ubatan yang kerap digunakan ialah hormon prostaglandin dan mifepristone. Ubat-ubatan lain termasuklah methotrexate (sejenis ubatan kemoterapi), dan letrozole, yang melambatkan pengeluaran hormon estrogen. Ubat-ubatan ini berfungsi dengan cara melembutkan serviks (pangkal rahim) dan menyebabkan pengecutan rahim. Ubat-ubatan ini boleh ditelan (diambil secara oral), diletakkan di bawah lidah atau di sebelah dalam pipi, atau dimasukkan ke dalam faraj/vagina. Ubat-ubatan tersebut boleh diberikan oleh jururawat atau doktor di hospital, atau diambil oleh wanita di rumah.

Pengguguran kandungan secara kaedah perubatan mungkin mengakibatkan kesan-kesan yang tidak diingini seperti pendarahan yang banyak, kesakitan, loya, muntah dan cirit-birit. Kegagalan pengguguran jarang berlaku, tetapi ia merupakan komplikasi yang penting daripada pengguguran kandungan secara kaedah perubatan. Kaedah perubatan untuk pengguguran kandungan di awal kehamilan boleh didapati secara meluas di beberapa buah negara, dan ubat-ubatan baru sedang dalam proses pembuatan.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengenal pasti ubatan manakah yang paling berkesan untuk menghasilkan pengguguran yang lengkap dalam tempoh tiga bulan pertama kehamilan, dan jika dos atau cara pengambilan ubatan yang berlainan menghasilkan sebarang perbezaan. Kami juga ingin mengetahui sekiranya ubatan tersebut menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami meneroka kajian-kajian yang telah menyelidik pelbagai ubat-ubatan, dos dan cara pengambilan ubatan oleh wanita yang melakukan pengguguran kandungan secara kaedah perubatan dalam tiga bulan pertama kehamilan.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti 99 kajian yang telah menyelidik 24 kombinasi ubat-ubatan, dos dan cara pengambilan ubatan yang berlainan.

Keputusan utama

Misoprostol yang dimasukkan ke dalam faraj mungkin lebih berkesan untuk menggugurkan kandungan daripada diambil secara oral, dan mungkin dikaitkan dengan kurang ketidakselesaan perut berbanding jika ubat tersebut diletakkan di bawah lidah atau di antara lidah dan pipi. Misoprostol sahaja dan mifepristone sahaja berkemungkinan mengakibatkan lebih banyak pengguguran yang gagal berbanding misoprostol dan mifepristone yang diambil secara kombinasi. Kemungkinan terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar pengguguran yang berjaya pada wanita berdasarkan sama ada ubat-ubatan diberikan di rumah atau di hospital, dos mifepristone, atau dos tunggal berbanding dos berulang bagi prostaglandin. Walau bagaimanapun, pengguguran kandungan mungkin lebih berjaya, sekiranya ubat-ubatan diberikan oleh doktor dihospital berbanding jururawat di hospital.

Apakah limitasi bukti tersebut?

Secara keseluruhannya, keyakinan kami terhadap bukti yang ada adalah sangat terhad atas beberapa sebab. Kebanyakan kajian melibatkan peserta yang cukup dan menggunakan kaedah yang memuaskan untuk memilih peserta dan memperuntukkan mereka kepada rawatan tertentu. Namun begitu, adalah sukar untuk memastikan bahawa para peserta dan doktor-doktor yang merawat mereka tidak mengetahui tentang rawatan yang mereka terima. Beberapa kajian juga tidak menerbitkan tujuan kajian sebelum kajian dimulakan, jadi adalah sukar untuk menilai sekiranya kajian-kajian ini telah mengukur dan melaporkan semua matlamat penting mereka. Hampir kesemua kajian dilaksanakan di negara berpendapatan tinggi, di mana para wanita boleh kembali untuk pemeriksaan semula. Kami tidak mengetahui adakah keputusan akan berbeza di negara-negara berpendapatan rendah.

Adakah bukti ini mutakhir?
Ini adalah kemaskini ulasan yang telah diterbitkan pada 2011. Bukti adalah terkini sehingga Februari 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Hull). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information