Mesej utama
- Intervensi peringkat individu di mana perhatian seseorang tertumpu kepada pengalaman stres (seperti memfokus kepada pemikiran, perasaan, tingkah laku) atau menjauhi daripada pengalaman stres (seperti bersenam, relaks) boleh mengurangkan stres dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan sehingga satu tahun selepas intervensi.
- Gabungan intervensi peringkat individu boleh mengurangkan stres sehingga beberapa bulan selepas intervensi.
- Kami tidak tahu jika intervensi yang memfokus kepada faktor risiko berkaitan kerja pada tahap individu mempunyai sebarang kesan ke atas stres.
Apakah stres?
Pada masa ini tiada definisi jelas tentang stres (berkaitan dengan kerja). Ulasan ini adalah tentang pekerja penjagaan kesihatan dengan tahap stres rendah kepada distres sederhana dan keletihan, yang mungkin membawa kepada kemurungan dan kebimbangan tetapi tidak semestinya. Orang dengan stres boleh mengalami gejala fizikal seperti sakit kepala, otot tegang atau sakit, tetapi juga gejala mental, seperti penumpuan terjejas. Mereka juga boleh mengalami masalah tingkah laku (seperti konflik dengan orang lain) dan masalah emosi (seperti ketidakstabilan emosi).
Apakah yang boleh dilakukan tentang stres dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan?
Stres dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan boleh ditangani pada peringkat organisasi, tetapi juga pada peringkat individu. Intervensi pengurusan stres pada peringkat individu bertujuan untuk:
- memfokus perhatian kepada pengalaman stres (pemikiran, perasaan, tingkah laku), contohnya melalui terapi tingkah laku kognitif atau latihan kemahiran daya tindak;
- memfokus perhatian seseorang daripada pengalaman stres contohnya dengan yoga, Tai Chi, melukis, atau akupunktur;
- mengubah faktor risiko berkaitan kerja pada peringkat individu, seperti perubahan dalam permintaan kerja.
Apa yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu jika pelbagai jenis intervensi pengurusan stres peringkat individu lebih baik berbanding tiada intervensi (atau intervensi lain) untuk mengurangkan stres dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan.
Apa yang kami lakukan
Kami mencari kajian-kajian yang melihat intervensi pengurusan stres dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan dan melaporkan gejala stres. Tenaga kerja penjagaan kesihatan terdiri daripada pelbagai jenis profesion dan pekerjaan yang menyediakan beberapa jenis perkhidmatan penjagaan kesihatan, termasuk pengamal penjagaan langsung dan profesional bersekutu.
Kami bandingkan dan ringkaskan keputusan-keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami dapati?
Kami mendapati sejumlah 117 kajian melibatkan seramai 11,119 pekerja penjagaan kesihatan. Kebanyakan kajian mengikuti peserta sehingga tiga bulan dan sesetengah kajian sehingga 12 bulan, tetapi hanya sedikit sahaja yang melebihi setahun.
Kami dapati mungkin terdapat kesan ke atas pengurangan stres dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan daripada intervensi pengurusan stres, sama ada mereka memfokus perhatian seseorang atau menjauhi pengalaman stres. Kesan ini mungkin bertahan sehingga setahun selepas tamat intervensi. Gabungan intervensi mungkin bermanfaat juga, sekurang-kurangnya dalam jangka pendek. Kesan jangka panjang intervensi pengurusan tekanan, lebih daripada setahun selepas intervensi tamat, masih tidak diketahui. Perkara yang sama berlaku untuk intervensi pada (peringkat individu) faktor risiko berkaitan kerja.
Apakah batasan bukti?
Anggaran kesan intervensi pengurusan tekanan peringkat individu mungkin bias kerana kurang kebutaan peserta dalam kajian-kajian yang disertakan. Tambahan pula, banyak kajian adalah agak kecil. Jika digabungkan, keyakinan kami terhadap kesan adalah berkurangan.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Februari 2022.
Diterjemah oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Dikemaskini oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my