Apakah yang kami ingin tahu?
Matlamat kajian ini adalah untuk mencari bukti semasa tentang keberkesanan rangsangan saraf vagus dalam mengurangkan kekerapan sawan epilepsi, dan sebarang kesan sampingan yang berkaitan dengan rawatan.
Apakah epilepsi dan bagaimana keadaan ini dirawat?
Epilepsi adalah gangguan di mana discaj elektrik yang tidak dijangka daripada otak menyebabkan sawan. Kebanyakan sawan boleh dikawal oleh ubat antiepileptik tunggal, tetapi kadangkala, sawan tidak bertindak balas terhadap ubat. Sesetengah orang memerlukan lebih daripada satu ubat antiepileptik untuk mengawal sawan mereka, terutamanya jika ia berasal dari satu kawasan otak (epilepsi fokal), dan bukannya melibatkan seluruh otak.
Saraf vagus melalui bahagian leher, dari otak ke usus besar, dan mengawal sistem badan, seperti jantung dan sistem penghadaman. Perangsang saraf vagus (VNS) adalah alat yang digunakan sebagai rawatan tambahan untuk epilepsi, jika ia tidak bertindak balas dengan baik terhadap ubat, dan hanya menjejaskan satu bahagian otak. Peranti disambungkan ke saraf vagus, dan menghantar impuls elektrik ringan kepada saraf ini. Cara ini amat penting untuk merawat orang yang epilepsinya tidak bertindak balas dengan baik terhadap ubat, yang tidak layak untuk pembedahan epilepsi, atau yang pembedahan tidak berjaya mengurangkan kekerapan sawan mereka.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami tidak memasukkan sebarang kajian terbaru untuk kemaskini ini. Kami memasukkan lima kajian terkawal rawak (RCT) berbilang pusat daripada kemas kini terakhir, yang menyertakan sejumlah 439 peserta, dan membandingkan pelbagai jenis terapi VNS. Tiga membandingkan rangsangan peringkat tinggi kepada rangsangan peringkat rendah pada peserta berumur dari 12 hingga 60 tahun. Satu kajian mengkaji rangsangan frekuensi tinggi berbanding rangsangan frekuensi rendah pada kanak-kanak. Satu kajian mengkaji tiga frekuensi rangsangan yang berbeza.
Apakah yang telah kami temui?
Oleh kerana kami tidak mengenal pasti sebarang kajian baru, kesimpulannya tetap tidak berubah.
VNS nampaknya merupakan rawatan yang berkesan untuk orang yang mempunyai epilepsi fokal yang sukar dikawal. Rangsangan tahap tinggi nampaknya mengurangkan bilangan sawan yang dialami orang berbanding rangsangan tahap rendah.
Kesan sampingan yang biasa dialami adalah perubahan suara dan serak, sakit, sesak nafas, batuk, rasa sakit, rasa kesemutan, sakit kepala, atau jangkitan di tempat pembedahan. Sesak nafas, perubahan suara dan suara serak adalah lebih biasa kepada penerima rangsangan peringkat tinggi berbanding orang yang menerima rangsangan peringkat rendah.
Apakah batasan bukti yang disertakan?
Bukti untuk keberkesanan dan kesan sampingan terapi VNS adalah terhad dan tidak tepat. Terdapat sebilangan kecil kajian dan peserta termasuk dalam ulasan dan butiran tentang reka bentuk dan pengendalian kajian kadang-kala kurang. Kami menilai bukti sebagai kepastian sederhana atau rendah. Ini bermakna penyelidikan lanjut berkemungkinan, atau berkemungkinan besar, mempunyai kesan penting ke atas keyakinan kami terhadap anggaran kesan, dan mungkin mengubah anggaran.
Sejauh mana bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 3 March 2022.
Diterjemahkan oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my