Rawatan psikologi untuk penyakit jantung koronari

Penyelidik telah menyorot bukti-bukti untuk menilai kesan-kesan penambahan rawatan psikologi (rawatan percakapan) kepada rawatan biasa bagi pesakit-pesakit penyakit jantung koronari (Coronary Heart Disease (CHD); penyempitan arteri-arteri yang membekalkan darah kepada otot jantung), berbanding dengan mereka yang menarima rawatan biasa sahaja. Penyelidik mengambilkeputusan yang berkaitan dengan kadar kematian (oleh sebarang sebab atau yang berkaitan dengan jantung); serangan jantung; pembedahan pembentukan semula salur darah (revascularisation) (pembedahan untuk mengembalikan pengaliran darah di sekeliling jantung); dan tahap kemurungan, keresahan dan stres.

Latar belakang

Serangan jantung dan pembedahan jantung mungkin menakutkan atau traumatik, dan mungkin mengakibatkan sesetengah pesakit mengalami masalah psikologi. Sesetengah ciri-ciri psikologi berhubung dengan perkembangan dan peningkatan keluhan berkenan dengan jantung. Rawatan psikologi bagi kemurungan, keresahan dan stres kadang kala ditawarkan, sama ada secara berasingan atau sebahagian daripada program pemulihan. Penyelidik menguji sama ada terdapat manfaat atau sebaliknya sekiranya rawatan psikologi ditambah kepada terapi biasa bagi pesakit-pesakit CHD. Penyelidik hanya memilih kajian-kajian yang mengikuti pesertanya selama sekurang-kurangnya enam bulan.

Carian-carian

Ini merupakan pengemaskinian kali ketiga bagi sorotan ini (versi sebelumnya adalah pada 2004 dan 2011). Bukti-bukti yang dilaporkan adalah terkini setakat April 2016.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan 35 kajian rambang terkawal (kajian klinikal di mana pesertanya diagihkan secara rawak ke dalam satu dari dua atau lebih kumpulan rawatan ) dengan 10,703 bilangan peserta. Kebanyakan peserta adalah lelaki (77%), dan kebelakangan ini menghidap serangan jantung atau menjalani pembedahan pembentukan semula salur darah. Kajian-kajian tersebut telah mengikuti pesertanya selama enam bulan hingga 10.7 tahun, dengan tempoh 12 bulan adalah jangkamasa yang paling biasa. Di garis dasar (titik permulaan kajian), 10 kajian hanya mengambil peserta yang menghidap CHD dan satu penyakit psikologi yang mapan (kebanyakannya adalah kemurungan), 11 kajiani mengambil peserta yang mempunyai tahap psikopatologi yang berbeza, manakala tiga kajian mengecualikan peserta yang mempunyai penyakit psikologi dan 11 ujikaji tidak melaporkan status psikologi.

Pembiayaan kajian

Tiga belas kajian tidak melaporkan sumber pembiayaan. Tujuh kajian dibiayai oleh geran kerajaan, enam oleh yayasan-yayasan kebajikan dan enam lagi oleh kedua-dua pembiayaan kerajaan dan badan kebajikan. Dua kajian melaporkan penerimaan pembiayaan daripada syarikat-syarikat swasta sebagai tambahan kepada pembiayaan yang diterima daripada sumber kerajaan dan pertubuhan kebajikan, dan satu kajian dibiayai oleh universiti.

Keputusan utama

Rawatan psikologi tidak mengurangkan kematian (oleh sebarang sebab), atau risiko pembedahan jantung atau serangan jantung berikutnya. Rawatan psikologi mengurangkan risiko kematian oleh sebab penyakit jantung, dan juga mengurangkan simptom yang dilaporkan oleh peserta-peserta, seperti kemurungan, keresahan dan stres.

Kualiti bukti

Terdapat tahap ketidakpastian yang ketara bagi kesan-kesan yang diperhatikan, dan kualiti bukti adalah sama ada rendah (bagi kematian oleh sebab penyakit jantung, serangan jantung yang tidak mengancam nyawa, kemurungan dan keresahan) atau sangat rendah (bagi stres) bagi kebanyakan ukuran, kualiti bukti bagi kematian oleh sebarang sebab atau pembedahan jantung adalah sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Wing (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi jame5wtan93@gmail.com.

Tools
Information