Budesonide adalah ubat kortikosteroid yang cepat dipecah oleh hati, mengurangkan kesan sampingan yang berkait dengan kortikosteroid (misalnya, muka bulat). Penyelidikan yang menunjukkan budesonide berkesan dalam merawat penyakit Crohn aktif telah menyebabkan kajian klinikal menilai kesan budesonide mengurangkan perulangan dalam penyakit Crohn yang tidak aktif.
Ulasan ini mengenal pasti 12 kajian yang melibatkan sejumlah 1273 peserta. Lapan kajian membandingkan budesonide dengan plasebo (misalnya, pil gula), satu kajian membandingkan budesonide dengan mesalamine (ubat anti-radang), satu kajian membandingkan budesonide dengan kortikosteroid sistemik tradisional, satu membandingkan budesonide dengan azathioprine (ubat imunosupresif), dan satu membandingkan dua dos budesonide. Analisis gabungan menunjukkan budesonide 6 mg setiap hari tidak lebih berkesan berbanding plasebo untuk mengekalkan remisi pada 3 bulan (6 kajian, 540 pesakit), 6 bulan (5 kajian, 420 pesakit) atau 12 bulan (5 kajian, 420 pesakit). Analisis gabungan menunjukkan budesonide 3 mg setiap hari lebih berkesan dari plasebo untuk mengekalkan remisi pada 3 bulan (4 kajian, 163 pesakit). Walau bagaimanapun, tiada perbezaan dalam kadar remisi berterusan antara budesonide 3 mg/hari dan plasebo pada 6 bulan (3 kajian, 180 pesakit) atau 12 bulan (5 kajian, 442 pesakit). Kualiti keseluruhan bukti dari kajian-kajian yang membandingkan budesonide dengan plasebo dinilai sederhana kerana kekurangan ketepatan keputusan. Satu kajian (90 pesakit) tidak menemukan perbezaan kadar remisi berterusan pada 12 bulan antara budesonide dan prednisolone. Keseluruhan kualiti bukti dari kajian ini dinilai rendah kerana kurangnya ketepatan keputusan dan kualiti metodologi yang rendah. Satu kajian (77 pesakit) tidak menemui perbezaan kadar remisi berterusan pada 12 bulan antara budesonide dan azathioprine. Keseluruhan kualiti bukti dari kajian ini dinilai sangat rendah kerana kurangnya ketepatan keputusan dan kualiti metodologi yang rendah. Satu kajian (57 pesakit) mendapati budesonide (6 mg/hari) lebih baik dari mesalamine untuk remisi berterusan pada 12 bulan. Keseluruhan kualiti bukti dari kajian ini dinilai sangat rendah kerana kurangnya ketepatan keputusan dan kualiti metodologi yang rendah. Tiada perbezaan keberkesanan untuk dos atau formulasi budesonide yang berbeza. Penggunaan budesonide 6 mg/hari menyebabkan sedikit peningkatan skor indeks aktiviti penyakit Crohn (CDAI) apabila dinilai pada 6 bulan (5 kajian, 420 pesakit) dan 12 bulan (5 kajian, 420 pesakit) dan masa min untuk relaps penyakit (4 kajian, 171 pesakit). Min masa hingga relaps jauh lebih pendek bagi pesakit yang menerima budesonide berbanding mereka yang menerima azathioprine. Kesan sampingan tidak lebih lazim dalam kalangan pesakit yang dirawat dengan budesonide berbanding plasebo. Kesan sampingan ini agak kecil dan tidak menyebabkan peningkatan kadar penarikan diri dari kajian. Kesan sampingan rawatan yang lazim dilapor termasuk jerawat, muka bulat, pertumbuhan rambut badan, perubahan mood, insomnia, naik berat badan, tanda regang kulit, dan keguguran rambut. Ujian rangsangan adrenokortikoid abnormal dilihat lebih kerap dalam kalangan pesakit yang menerima budesonide 6 mg setiap hari dan 3 mg setiap hari berbanding plasebo. Keputusan ulasan ini menunjukkan budesonide tidak efektif untuk mengekalkan remisi penyakit Crohn, terutama jika diguna melebihi tiga bulan setelah induksi remisi. Budesonide mempunyai manfaat kecil dari segi skor CDAI yang lebih rendah dan masa yang lebih lama untuk relaps penyakit. Walau bagaimanapun, manfaat ini diimbangi oleh kadar lebih tinggi kesan sampingan yang berkait dengan rawatan dan supresi adrenokortikoid lebih kerap dalam kalangan pesakit yang menerima budesonide.
Diterjemah oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my