Latar belakang
Pakar bedah dan jururawat yang melakukan pembedahan bersih memakai topeng muka pakai buang. Dua tujuan topeng muka adalah: untuk mencegah laluan kuman dari hidung dan mulut pakar bedah ke dlam luka pesakit dan untuk melindungi muka pakar bedah dari semburan dan percikan dari pesakit. Topeng muka dianggap dapat menghindar jangkitan pada luka selepas pembedahan. Walau bagaimanapun, topeng yang tidak betul dipakai boleh meningkatkan kemungkinan kontaminasi luka dengan kuman. Kami ingin tahu sama ada memakai topeng muka semasa pembedahan mungkin lebih cenderung menyebabkan jangkitan pada luka selepas operasi.
Soalan ulasan
Ulasan ini bertujuan menentukan jika memakai topeng muka pakai buang meningkatkan atau mengurangkan bilangan kes jangkitan luka selepas pembedahan bersih.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari semua kajian-kajian yang dilakukan pada masa lalu berkaitan topik ini. Kajian yang termasuk dalam analisis kami adalah yang melihat penggunaan topeng muka semasa pembedahan 'bersih' dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak. Pembedahan bersih adalah apabila operasi tidak melibatkan organ yang mungkin mengandungi ‘bugs’ seperti paru-paru, usus, kemaluan dan pundi kencing. Jangkitan luka kurang cenderung berlaku selepas pembedahan 'bersih', berbanding dengan pembedahan 'tidak bersih'. Kami memilih untuk melihat pembedahan jenis ini kerana jangkitan yang berlaku selepas pembedahan bersih kemungkinan besar disebabkan oleh penggunaan topeng muka, dan bukan kerana kaedah operasi. Kami juga hanya melihat satu jenis kajian, kajian rawak terkawal (RCT), di mana orang yang terlibat (peserta) dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua kumpulan: satu kumpulan di mana pasukan pembedahan memakai topeng muka semasa operasi dan satu lagi kumpulan di mana pasukan pembedahan tidak memakai topeng muka. Kami membandingkan bilangan kes jangkitan luka yang berlaku selepas pembedahan antara dua kumpulan.
Keputusan utama
Secara keseluruhan, kami menemui sedikit kajian dan mengenal pasti tiada kajian baru untuk kemas kini ini. Kami menganalisis sejumlah 2106 peserta dari tiga kajian yang kami temui. Ketiga-tiga kajian menunjukkan memakai topeng muka semasa pembedahan tidak meningkatkan atau mengurangkan bilangan jangkitan luka yang berlaku selepas pembedahan. Kami menyimpulkan tiada bukti jelas memakai topeng muka pakai buang mempengaruhi kecenderungan jangkitan luka selepas operasi.
Kualiti bukti
Penemuan dari ulasan ini tidak dapat diitlak kerana beberapa sebab: kajian yang disertakan hanya melihat pembedahan bersih, sesetengah kajian tidak menyatakan jenis topeng muka yang diguna dan salah satu kajian tidak melibatkan ramai peserta, oleh itu penemuan ini kurang dipercayai. Kualiti kajian-kajian secara keseluruhan adalah rendah. Cara para peserta dipilih untuk kajian tidak rawak sepenuhnya, bermaksud penilaian penulis boleh mempengaruhi keputusan. Lebih penyelidikan dalam bidang ini diperlukan sebelum kesimpulan lanjut tentang penggunaan topeng muka dalam pembedahan boleh dibuat.
Ringkasan bahasa mudah ini adalah terkini sehingga 22 Disember 2015.
Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.