Penggunaan antibiotik untuk mencegah jangkitan tisu pankreas yang mati dalam pankreatitis akut

Pankreatitis akut ialah keradangan pankreas, suatu keadaan kecemasan yang serius tanpa rawatan spesifik. Pankreas, kelenjar pencernaan, boleh menjadi radang kerana banyak sebab, tetapi terutamanya sebagai komplikasi batu hempedu atau pengambilan alkohol berlebihan. Jika teruk, pankreas mungkin kehilangan bekalan darah, satu komplikasi yang dikenali sebagai nekrosis pankreas yang boleh dikesan dengan imbasan tomografi berkomputer (CT). Kematian boleh berlaku sama ada di peringkat awal proses penyakit yang dikaitkan dengan respon keradangan yang tidak terkawal, menyebabkan kegagalan pelbagai sistem organ (MOSF), atau peringkt lewat apabila tisu nekrotik dijangkiti, yang mungkin memerlukan pembedahan major untuk mengeluarkan jangkitan tersebut, dengan risiko kematian yang meningkat daripada 10% hingga lebih 40%. Antibiotik boleh mencegah jangkitan kemudian dan mengurangkan risiko kematian, namun boleh menggalakkan rintangan antibiotik bakteria dan jangkitan kulat. Kajian terkawal yang melihat nilai penggunaan antibiotik profilaksis telah menghasilkan keputusan yang bertentangan.

Ulasan ini bertujuan untuk menentukan keberkesanan dan keselamatan antibiotik profilaksis dalam pankreatitis nekrosis akut yang disahkan dengan CT. Versi terdahulu yang diterbitkan pada 2006 mencadangkan kelebihan survival keseluruhan, dan penurunan jangkitan pankreas bagi beberapa jenis terapi antibiotik (antibiotik beta-lactam). Semenjak ulasan itu, dua kajian lanjutan telah diterbitkan: kedua-dua adalah kajian klinikal terkawal dwi butaan (RCTs). Kajian-kajian ini kini telah dimasukkan dan telah mengubah keputusan kami.

Dalam ulasan ini, data ditemui dan dianalisis daripada 7 kajian yang melibatkan 404 orang pesakit yang diperuntukkan secara rawak untuk menerima antibiotik atau plasebo. Walaupun kurang kematian berlaku selepas penggunaan antibiotik (8.4%) berbanding plasebo (14.4%), seperti dalam keadaan nekrosis pankreas yang dijangkiti (19.7% berbanding 24.4%) dan jangkitan lain (23.7% berbanding 36%), perbezaan tersebut adalah tidak ketara, oleh itu manfaat sebenar tidak dapat disahkan. Tiada masalah major dengan rintangan antibiotik, dan jangkitan kulat adalah sama (3.9% berbanding 5%). Kualiti kajian adalah pelbagai dan hanya dua yang 'dibutakan', di mana penyiasat dan pesakit tidak menyedari rawatan mana yang diterima oleh pesakit. Banyak rejimen yang berbeza telah digunakan, dan daripada dua jenis antibiotik utama yang digunakan, beta-lactam diyakini berfungsi dengan lebih berkesan. Hanya satu jenis antibiotik (imipenem) yang dipertimbangkan secara bersendirian dan menunjukkan penurunan ketara jangkitan nekrosis pankreas.

Walaupun kami tidak dapat mengesahkan manfaat daripada penggunaan antibiotik profilaksis dalam keadaan ini, trend yang menuju ke arah kesan yang bermanfaat kekal. Kajian lanjutan dengan reka bentuk lebih baik, sebaik-baiknya dengan antibiotik beta-laktam diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi Chris_ZY@live.com

Tools
Information