Latar belakang: apakah osteoarthritis dan apakah terapi herba?
Osteoartritis (OA) adalah penyakit sendi (biasanya lutut, pinggul, tangan). Apabila sendi kehilangan rawan, tulang tumbuh untuk cuba membaiki kerosakan. Daripada membuat keadaan menjadi lebih baik, bagaimanapun, tulang tumbuh secara tidak normal dan memburukkan keadaan. Sebagai contoh, tulang boleh menjadi salah bentuk dan membuat sendi sakit dan menghadkan pergerakan. OA boleh menjejaskan fungsi fizikal anda, khususnya keupayaan dalam menggunakan sendi.
Ubat herba ditakrifkan sebagai produk perubatan yang telah siap, berlabel yang mengandungi bahan aktif bahagian udara atau bawah tanah tumbuhan atau bahan tumbuhan lain, atau gabungannya, sama ada dalam keadaan mentah atau sebagai sediaan tumbuhan (contohnya ekstrak, minyak, tincture).
Ciri-ciri kajian
Ringkasan ulasan Cochrane yang dikemaskini ini mengemukakan maklumat yang kami ketahui daripada penyelidikan tentang kesan terapi herba yang diambil secara oral oleh pesakit osteoartritis. Selepas membuat carian semua kajian yang berkaitan sehingga Ogos 2013, kami sertakan 45 kajian baharu sejak ulasan yang terdahulu, memberikan sejumlah 49 kajian (33 kajian intervensi herba) yang melibatkan 5980 orang peserta, kebanyakannya dengan osteoartritis bergejala ringan ke sederhana pada bahagian lutut atau pinggul. Tiga puluh tiga produk tumbuhan ubatan yang berbeza dibandingkan dengan plasebo atau kawalan intervensi aktif dan kebanyakan perbandingan hanya mempunyai kajian tunggal sahaja; oleh itu, kami telah mengehadkan laporan hasil kajian di sini kepada produk dengan beberapa kajian iaitu produk Boswellia serrata (monoherba) dan avokado-soya tidak tersaponifikasi (ASU) (dua gabungan herba) .
Keputusan utama
Boswellia serrata
Skala kesakitan 0 sehingga 100 mata (skor rendah menunjukkan tahap kesakitan yang rendah)
- individu yang mengambil produk yang diperkaya dengan 100 mg ekstrak Boswellia serrata menilai tahap kesakitan mereka 17 mata lebih rendah (julat 8 sehingga 26 mata lebih rendah) (17% penambahbaikan mutlak) pada hari ke-90 berbanding dengan plasebo;
- individu yang mengambil produk yang diperkaya dengan 100 mg ekstrak Boswellia serrata menilai tahap kesakitan mereka sebanyak 23 mata;
- individu yang mengambil sediaan plasebo menilai tahap kesakitan mereka sebanyak 40 mata.
Fungsi fizikal pada skala 0 sehingga 100 mata (skor rendah menunjukkan fungsi fizikal yang lebih baik).
- individu yang mengambil produk yang diperkaya dengan 100 mg ekstrak Boswellia serrata menilai tahap fungsi fizikal mereka 8 mata lebih baik (julat 2 sehingga 14 mata lebih baik) terhadap skala 100 mata (8% penambahbaikan mutlak) pada hari ke-90 berbanding dengan plasebo;
- individu yang mengambil produk yang diperkaya dengan 100 mg ekstrak Boswellia serrata menilai tahap fungsi fizikal mereka sebanyak 25 mata;
- individu yang mengambil plasebo menilai fungsi fizikal mereka sebanyak 33 mata.
Produk avokado-soya tidak tersaponifikasi (ASU) Piascledine®
Skala kesakitan 0 sehingga 100 mata (skor rendah menunjukkan tahap kesakitan yang rendah):
- individu yang mengambil 300 mg ASU menilai tahap kesakitan mereka 8 mata lebih rendah (julat 1 sehingga 16 mata lebih rendah) terhadap skala 100 mata (8% penambahbaikan mutlak) antara tempoh 3 sehingga 12 bulan berbanding dengan plasebo;
- individu yang mengambil 300 mg ASU menilai tahap kesakitan mereka sebanyak 33 mata;
- individu yang mengambil plasebo menilai tahap kesakitan mereka sebanyak 41 mata.
Fungsi fizikal pada skala 0 sehingga 100 mm (skor rendah menunjukkan fungsi fizikal yang lebih baik):
- individu yang mengambil 300 mg ASU menilai fungsi fizikal mereka 7 mm lebih baik (julat 2 sehingga 12 mata lebih baik) terhadap skala 100 mm (7% penambahbaikan mutlak) sepanjang 3 sehingga 12 bulan berbanding dengan plasebo.
- individu yang mengambil 300 mg ASU menilai fungsi fizikal mereka sebanyak 40 mm;
- individu yang mengambil plasebo menilai fungsi fizikal mereka sebanyak 47 mm.
Kualiti bukti
Terdapat bukti berkualiti sederhana yang menunjukkan bahawa dalam individu dengan osteoartritis Boswellia serrata sedikit memperbaiki tahap kesakitan dan fungsi. Penyelidikan lanjut mungkin mengubah anggaran.
Terdapat bukti berkualiti sederhana yang menunjukkan bahawa avokado-soya yang tidak tersaponifikasi (ASU) mungkin sedikit memperbaiki tahap kesakitan dan fungsi, tetapi mungkin tidak memelihara ruang antara sendi. Penyelidikan lanjut mungkin mengubah anggaran.
Kami tidak pasti sama ada produk herba oral lain dapat memperbaiki kesakitan osteoartritis dan fungsi, atau memperlahan kerosakan struktur sendi kerana bukti yang ada terhad kepada kajian tunggal atau kajian yang tidak dapat dikumpulkan bersama, dan sesetengah kajian tersebut berkualiti rendah sehingga sangat rendah. Kualiti hidup tidak diukur.
Terapi herba boleh menyebabkan kesan sampingan, namun kami tidak pasti jika terdapat peningkatan risiko ini.
Diterjemah oleh Siti Sarah Fazalul Rahiman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my