Kami ingin tentukan daripada kajian rawak terkawal kesan polisi keluar hospital awal untuk ibu dan bayi yang sihat (lahir pada 37 minggu atau lebih) terhadap kesihatan ibu, bayi dan bapa serta hasil-hasil yang berkaitan.
Apa isunya?
Masalah boleh berlaku atau menjadi jelas selepas bayi lahir. Misalnya, wanita boleh mengalami perdarahan berlebihan dan jangkitan, bermasalah memulakan penyusuan, dan kurang yakin tentang penjagaan bayi mereka, dan bayi mungkin terganggu pembesaran. Pada masa lampau, wanita dimasukkan ke hospital untuk mencegah atau menangani isu ini. Tempoh masa wanita di hospital selepas melahirkan telah menurun secara mendadak di banyak negara sejak 50 tahun yang lalu.
Mengapakah ini penting?
Tidak diketahui sama ada tempoh lebih singkat di hospital selepas bersalin adalah bermanfaat atau berbahaya kepada wanita dan bayi mereka yang baru lahir. Keluar hospital lebih awal bagi ibu dan bayinya ada kelebihan yang berpotensi, termasuk persekitran yang lebih biasa dan tidur yang lebih baik, kurang pendedahan kepada jadual yang dikenakan di persekitaran hospital dan kurang pendedahan kepada risiko jangkitan. Walau bagaimanapun, keluar hospital lebih awal boleh menyebabkan terlepas peluang untuk sokongan penyusuan dan penjagaan bayi dan pengenalpastian masalah kesihatan bayi dan ibu selepas bersalin. Ulasan kajian-kajian ini membandingkan dasar keluar hospital awal selepas bersalin dengan tempoh inap dan penjagaan standard semasa kajian.
Apakah bukti yang kami temui?
Kami mencari bukti sehingga Mei 2021, dan mengenalpasti 17 kajian melibatkan 9409 wanita. Bukti adalah kepastian rendah hingga sederhana kerana keterbatasan cara kajian-kajian dijalankan. Terdapat banyak variasi bagaimana keluar hospital awal didefinisi, dari enam jam hingga empat atau lima hari. Dalam kebanyakan kajian yang dimasukkan dalam ulasan ini, keluar hospital awal disertai dengan beberapa tahap sokongan jururawat atau perbidanan. Tiada kajian yang berlangsung di negara berpendapatan rendah.
Keluar hospital awal mungkin sedikit meningkatkan bilangan bayi yang dimasukkan semula ke hospital dalam tempoh 28 hari kelahiran (10 kajian, 6918 bayi, bukti kepastian sederhana). Adalah tidak pasti sama ada keluar hospital awal berkesan terhadap risiko kematian bayi dalam tempoh 28 hari (dua kajian, 4882 bayi). Keluar hospital postnatal awal tidak banyak membezakan bilangan bayi yang ada sekurang-kurangnya satu perundingan perubatan tidak berjadual atau hubungan dengan profesional kesihatan dalam tempoh empat minggu pertama selepas lahir (empat kajian, 639 bayi, bukti kepastian sederhana).
Keluar hospital awal mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan bilangan wanita yang dimasukkan semula ke hospital dalam tempoh enam minggu selepas bersalin akibat komplikasi yang berkait dengan kelahiran anak (11 kajian, 6992 wanita, bukti kepastian sederhana). Tiada kematian dilaporkan. Bilangan wanita dengan sekurang-kurangnya satu perundingan perubatan tidak berjadual dengan profesional kesihatan tidak jelas berbeza (dua kajian, 464 wanita, bukti kepastian sederhana). Keluar hospital awal boleh menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan risiko kemurungan dalam tempoh enam bulan selepas bersalin (lima kajian, 4333 wanita, bukti kepastian rendah).
Keluar hospital awal mungkin mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan wanita yang menyusui pada enam minggu selepas bersalin atau dalam bilangan wanita yang ada sekurang-kurangnya satu perundingan perubatan tidak berjadual dengan profesional kesihatan.
Keluar hospitaln awal mungkin dapat mengurangkan sedikit kos penjagaan hospital dengan sedikit atau tiada perbezaan dalam kos penjagaan dari masa keluar hospital hingga enam minggu selepas bersalin.
Apakah maksudnya?
Risiko bayi masuk semula ke hospital mungkin lebih tinggi berikutan keluar hospital awal ibu dan bayi selepas bersalin, tetapi mungkin tidak lebih tinggi bagi wanita yang dimasukkan semula ke hospital setelah keluar hospital awal. Kami tidak pasti tentang risiko kematian bayi dan ibu berikutan keluar hospital awal kerana hal ini adalah kejadian tidak lazim. Perbezaan antara keluar hospital awal dan standard dari segi kemurungan ibu, penyusuan susu ibu, bilangan kontak dengan profesional kesihatan dan kos penjagaan tidak jelas berbeza, dan sehingga kajian lanjutan dibuat untuk menyiasat faktor-faktor ini, bukti kekal berkepastian rendah.
Diterjemah oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal (PPM). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.