Pengurusan kendiri untuk pesakit dengan penyakit pulmonari obstruktif kronik

Soalan ulasan
Kami melihat kepada bukti semasa tentang kesan intervensi pengurusan kendiri untuk orang yang mempunyai penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD). Secara khususnya, kami menilai keberkesanannya terhadap kualiti hidup berkaitan kesihatan (HRQoL) dan kemasukan ke hospital yang berkaitan dengan COPD. Kami juga ingin menilai sama ada intervensi pengurusan kendiri adalah selamat dengan menilai bilangan kematian.

Latar belakang
COPD adalah satu keadaan paru-paru yang biasa dan jangka panjang yang perlahan-lahan bertambah buruk selama bertahun-tahun, dan menyebabkan gejala seperti sesak nafas, batuk, berdehit dan peningkatan pengeluaran kahak (lendir). Perkara ini membawa kepada kehilangan kesejahteraan (juga dikenali sebagai pengurangan dalam HRQoL) terhadap penghidap COPD. Intervensi pengurusan kendiri menggalakkan orang ramai untuk membangunkan kemahiran dan tingkah laku yang mereka perlukan untuk berjaya menguruskan penyakit mereka, dan isu emosi dan praktikal yang mungkin hadir bersama-samanya. Dalam kemas kini ini, kami menyemak bukti semasa tentang kesan pengurusan kendiri terhadap HRQoL, kemasukan ke hospital yang berkaitan dengan COPD, kematian akibat daripada sebarang sebab dan berkaitan dengan COPD, serta hasil kesihatan yang lain.

Tarikh carian
Kami mencari kajian sehingga Januari 2020.

Ciri-ciri kajian
Kami memasukkan 27 kajian, melibatkan seramai 6008 peserta, yang menilai kesan dan keselamatan intervensi pengurusan kendiri COPD. Purata umur peserta adalah antara 57 hingga 74 tahun. Antara 33% hingga 98% peserta dalam kajian adalah lelaki. Kajian telah dijalankan di empat benua yang berbeza (15 di Eropah, lapan di Amerika Utara, satu di Asia, dan empat di Oceania; dengan satu kajian dijalankan di kedua-dua Eropah dan Oceania). Semua kajian mempunyai peserta kumpulan kawalan yang menerima penjagaan biasa - iaitu, penjagaan tipikal untuk penghidap COPD. Kajian itu berlangsung antara dua setengah hingga 24 bulan.

Keputusan utama
Intervensi pengurusan kendiri meningkatkan HRQoL pada penghidap COPD berbanding penjagaan biasa, tetapi ini tidak mencapai peningkatan bermakna secara klinikal. Bilangan perserta yang mempunyai sekurang-kurangnya satu kemasukan ke hospital yang berkaitan dengan COPD berkurangan dalam kalangan orang yang mengambil bahagian dalam intervensi pengurusan kendiri. Kami mendapati tiada perbezaan dalam bilangan kematian antara kumpulan pengurusan kendiri dan penjagaan biasa, yang menguatkan pandangan bahawa intervensi pengurusan kendiri COPD tidak mungkin menyebabkan kemudaratan. Kami tegas tentang hanya memasukkan kajian yang memenuhi definisi kami tentang intervensi pengurusan kendiri COPD. Walau bagaimanapun, kajian masih agak berbeza antara satu sama lain dari segi komponen intervensi yang digunakan, tempoh intervensi pengurusan kendiri dan populasi kajian. Hal ini perlu diingatkan bahawa kepelbagaian dalam intervensi masa depan tidak dapat dielakkan kerana intervensi pengurusan kendiri mengikut kesesuaian individu adalah wajar; ia tidak akan menjadi satu intrevensi yang 'satu saiz untuk semua'.

Kualiti bukti
Keyakinan kami terhadap bukti untuk penemuan utama dalam ulasan ini adalah dari 'sangat rendah' hingga 'sederhana', disebabkan oleh sifat intervensi pengurusan kendiri COPD - tiada kajian yang menghalang peserta dan kakitangan daripada mengetahui rawatan yang diterima oleh peserta. Tambahan pula, tiada kajian memberikan maklumat terperinci tentang sejauh mana peserta mematuhi intervensi pengurusan kendiri atau sama ada sebarang rawatan lanjut diberikan semasa kajian dijalankan. Oleh yang demikian, bukti kajian tidak boleh dinilai lebih tinggi daripada 'sederhana' dalam mana-mana kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman Bin Ahmad Rizal (PPM). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information