Mesej utama
Kortikosteroid yang disedut sahaja mungkin mengurangkan penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) memberang, memperlahankan penurunan fungsi paru-paru (diukur sebagai isipadu udara yang boleh anda keluarkan dari paru-paru dalam satu saat) dan membawa kepada peningkatan kecil dalam kualiti hidup. Walau bagaimanapun, ia mungkin juga meningkatkan risiko pneumonia dan kesan sampingan dalam mulut dan mungkin tidak menambahbaik survival. Penemuan ini menyokong pertimbangan berterusan kortikosteroid yang disedut dengan kombinasi rawatan lain, dan penyelidikan lanjut harus memfokus bidang ini.
Apakah itu penyakit pulmonari obstruktif kronik?
COPD adalah istilah yang diguna untuk masalah paru-paru yang menyebabkan kesukaran bernafas. Ini termasuk bronkitis kronik (keradangan paru-paru berpanjangan) dan emfisema (kerosakan pada kantung udara paru-paru). Kortikosteroid yang disedut sahaja tidak lagi disyorkan untuk orang dengan COPD (dikenali sebagai 'monoterapi'), tetapi ia diberi bersama ubat sedutan bertindak lama yang lain kerana keberkesanan rawatan gabungan yang lebih baik. Kortikosteroid yang disedut membantu mengurangkan keradangan saluran udara orang dengan asma. Walau bagaimanapun, adalah tidak pasti sama ada ubat-ubatan ini bermanfaat dalam kalangan orang dengan COPD.
Apa yang kami ingin tahu?
Kami mengemas kini ulasan kortikosteroid yang disedut untuk membantu menyelesaikan ketidakpastian yang berterusan tentang peranannya dalam kalangan orang dengan COPD. Kami menganalisis kesannya terhadap kekerapan keberangan (eksaserbasi), kualiti hidup, kapasiti bernafas, kadar kematian dan kesan sampingan seperti pneumonia.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian-kajian yang membandingkan kortikosteroid yang disedut berbanding plasebo yang disedut (rawatan berpura-pura) dalam kalangan orang dengan COPD yang stabil.
Apakah yang kami temui?
Kami sertakan 36 kajian melibatkan 23,139 peserta.
Keputusan utama
Gabungan data daripada kajian-kajian menunjukkan kortikosteroid yang disedut bermanfaat dalam mengurangkan kekerapan eksaserbasi dan memperlahankan kadar penurunan kualiti hidup. Terdapat manfaat jangka panjang (selepas enam bulan rawatan) dalam memperlahankan kadar penurunan dalam kapasiti bernafas. Kadar kematian dari sebarang sebab tidak berubah. Kortikosteroid yang disedut meningkatkan risiko kesan sampingan termasuk jangkitan seriawan ( Candida ) dalam mulut, suara serak dan pneumonia.
Dalam membuat keputusan sama ada untuk menggunakan rawatan ini, pengguna dan profesional kesihatan harus mempertimbangkan manfaat terhadap kesan sampingan.
Apakah batasan bukti?
Secara keseluruhan, keyakinan kami adalah rendah hingga sederhana terhadap bukti yang mendasari penemuan ini. Kami sederhana yakin terhadap bukti untuk penemuan yang berkaitan dengan eksaserbasi COPD, kualiti hidup, kapasiti bernafas, kadar kematian dan kesan sampingan. Ini adalah akibat beberapa variasi dalam data merentasi kajian-kajian. Kami berkeyakinan rendah terhadap bukti risiko pneumonia akibat keputusan yang pelbagai dalam beberapa kajian.
Adakah bukti ini mutakhir?
Kami mencari kajian sehingga Oktober 2022.
Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my