Terapi ubat-ubatan untuk apnea tidur obstruktif dalam kalangan dewasa

Latar belakang
Apnea tidur obstruktif (OSA) terjadi disebabkan oleh penyempitan saluran pernafasan atas. Rawatan perubatan utama adalah penggunaan tekanan positif udara berterusan (CPAP), yang disalurkan melalui topeng mulut semasa tidur, bertujuan untuk membuka saluran pernafasan. Terapi ubat-ubatan telah dicadangkan bagi individu-individu dengan OSA ringan dan pesakit yang tidak dapat menggunakan CPAP.

Soalan ulasan
Kami ingin melihat bukti dari kajian rawak terkawal yang membandingkan terapi ubat-ubatan dengan plasebo untuk apnea tidur.

Apa yang kami lakukan
Kami mencari dan mengulas semua kajian rawak terkawal plasebo ubat-ubatan untuk merawat OSA dalam kalangan pesakit dewasa. Kebanyakan kajian mempunyai kelemahan metodologi atau hanya dijalankan untuk satu atau dua malam, yang sememangnya tidak cukup lama untuk mengetahui sama ada rawatan adalah berkesan atau penggunaannya boleh diterima oleh pesakit.

Keputusan
Daripada 25 jenis ubat yang diuji, 10 daripadanya mempunyai impak ke atas keterukan OSA (seperti yang diukur oleh indeks hypopnea apnea atau AHI) dan empat gejala berkaitan mengantuk, walaupun perubahan dalam kebanyakan pesakit hanyalah sederhana.

Eszopiclone, acetazolamide, naltrexone, physiostigmine dan pelicir nasal (phosphocholinamine) telah dikaji selama satu hingga dua malam sahaja dan oleh itu, kesan jangka panjangnya tidak diketahui. Steroid nasal topikal diterima baik dan mengurangkan keterukan apnea tidur dan memperbaiki kecergasan subjektif pada siang hari dalam subkumpulan tertentu pesakit OSA dan rinitis. Acetazolamide mengurangkan bilangan peristiwa pernafasan setiap jam tidur tetapi tidak mengurangkan mengantuk pada siang hari dan tidak diterima baik untuk jangka masa panjang. Paroxetine hanya memberi kesan kecil terhadap keterukan OSA walaupun penggunaannya diterima baik, tiada kesan bermanfaat ke atas gejala waktu siang. Sebaliknya, para peserta melaporkan manfaat simptomatik protriptyline tetapi tiada penambahbaikan dalam OSA, menunjukkan satu mekanisme berbeza bagi penambahbaikan rasa kesejahteraan mereka. Ubat antidepresan mirtazapine memperbaiki keterukan apnea tidur dalam kajian terdahulu, walau bagaimanapun, dua kajian lebih besar yang terkini gagal menunjukkan keputusan yang sama; tambahan pula, peserta mengalami kesan sampingan seperti mengantuk dan pertambahan berat badan. Donepezil, ubat yang terbukti berkesan dalam rawatan penyakit Alzheimer, menambahbaik ketepuan oksigen dan keterukan pesakit OSA dengan atau tanpa dementia. Bagi mereka yang tiada dementia, ubat tersebut mengurangkan mengantuk tetapi kajian tersebut adalah kecil dan tiada bukti sama ada nilai AHI mahupun ESS yang dapat dinormalkan. Kajian lanjutan diperlukan untuk mengesahkan keputusan ini. Eszopliclone mengurangkan keterukan OSA dalam pesakit-pesakit terpilih, walau bagaimanapun kajian berskala lebih besar diperlukan untuk mengesahkan keputusan ini.

Kesimpulan
Sesetengah ubat-ubatan mungkin membantu, namun penerimaannya perlu dipertimbangkan dalam kajian jangka masa panjang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi irfankb@usm.my. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail, Kolej Perubatan Melaka-Manipal.

Tools
Information