Soalan ulasan
Kami mengulas bukti mengenai kesan program pemulihan terhadap sakit, pemulihan, fungsi dan kembali bekerja pada orang yang telah menjalani pembedahan disk lumbar.
Latar belakang
Disk 'tergelincir' atau 'hernia' dianggap sebagai penyebab sakit kaki yang paling biasa berkaitan dengan saraf 'tercubit' atau termampat di bahagian bawah punggung. Ramai pesakit dirawat dengan gabungan langkah-langkah bukan pembedahan seperti ubat atau fisioterapi. Pesakit dengan gejala berterusan boleh menjalani pembedahan. Walaupun 78% hingga 95% pesakit akan bertambah baik selepas pembedahan, ada yang akan terus mengalami gejala. Dianggarkan bahawa 3% hingga 12% pesakit yang menjalani pembedahan disk akan mengalami gejala berulang, dan kebanyakan pesakit ini akan menjalani pembedahan lagi.
Program pemulihan, seperti terapi senaman oleh ahli fisioterapi dan nasihat untuk kembali ke aktiviti normal seperti kembali bekerja, adalah pendekatan biasa selepas pembedahan.
Ciri-ciri kajian
Ulasan dikemas kini ini menilai keberkesanan pelbagai program pemulihan untuk pesakit yang menjalani pembedahan disk lumbar untuk pertama kalinya. Kami memasukkan 22 kajian terkawal rawak dengan 2503 peserta, lelaki dan wanita, antara umur 18 dan 65 tahun. Bukti-bukti adalah yang terkini sehingga Mei 2013. Selalunya, rawatan bermula empat hingga enam minggu selepas pembedahan, tetapi permulaan rawatan berkisar antara dua jam hingga 12 bulan selepas pembedahan. Perbezaan yang besar dalam kandungan, tempoh dan intensiti rawatan (iaitu program senaman) telah diperhatikan. Tempoh intervensi berbeza dari dua minggu hingga satu tahun; kebanyakan program berlangsung selama enam hingga 12 minggu. Peserta melaporkan purata intensiti sakit yang serius (56 mata pada skala sifar hingga 100, dengan 100 adalah sakit yang paling teruk). Kebanyakan kajian membandingkan (1) senaman berbanding tanpa rawatan, (2) senaman intensiti tinggi berbanding senaman intensiti rendah atau (3) senaman yang diselia berbanding senaman di rumah, yang paling biasa bermula empat hingga enam minggu selepas pembedahan. Perbandingan dalam ulasan ini menyertakan (1) senaman berbanding tanpa rawatan, (2) senaman intensiti tinggi berbanding intensiti rendah dan (3) diselia berbanding senaman di rumah.
Keputusan utama
Pesakit yang mengambil bahagian dalam program senaman empat hingga enam minggu selepas pembedahan melaporkan sakit dan kecacatan jangka pendek sedikit kurang daripada mereka yang tidak menerima rawatan. Pesakit yang mengambil bahagian dalam program senaman intensiti tinggi melaporkan sakit dan kecacatan jangka pendek sedikit kurang daripada mereka yang mengambil bahagian dalam program senaman intensiti rendah. Pesakit dalam program senaman yang diselia melaporkan sedikit atau tiada perbezaan dalam sakit dan kecacatan berbanding dengan mereka dalam program senaman di rumah. Namun sukar untuk membuat kesimpulan yang kukuh tanpa adanya bukti berkualiti tinggi.
Tiada kajian melaporkan peningkatan kadar operasi semula selepas pembedahan lumbar kali pertama.
Bukti tidak menunjukkan sama ada semua pesakit harus dirawat selepas pembedahan atau hanya mereka yang masih mempunyai gejala empat hingga enam minggu kemudian.
Kualiti bukti
Batasan dalam kaedah dari separuh kajian menunjukkan bahawa hasilnya harus dibaca dengan berhati-hati. Kebanyakan rawatan dinilai hanya dalam satu kajian. Oleh itu, untuk kebanyakan intervensi, hanya bukti kualiti rendah hingga sangat rendah menunjukkan bahawa tidak ada kesimpulan yang tegas yang dapat dibuat mengenai keberkesanannya.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Khaw Loke Tim (IMU University). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).