Mesyuarat dan bengkel pendidikan berterusan: kesan ke atas amalan profesional penjagaan kesihatan dan kesihatan pesakit

Apakah matlamat ulasan ini?

Ulasan Cochrane ini bertujuan menilai kesan mesyuarat pendidikan terhadap amalan profesional penjagaan kesihatan dan kesihatan pesakit. Para pengarang ulasan mencari kajian-kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan menyertakan 215 kajian dalam ulasan ini.

Mesej utama

Mesyuarat pendidikan sahaja atau sebagai bahagian utama strategi yang lebih besar mungkin lebih baik berbanding tiada strategi untuk meningkatkan amalan profesional penjagaan kesihatan dan kesihatan pesakit. ia juga mungkin lebih baik berbanding strategi perubahan tingkah laku jenis lain untuk memperbaik amalan profesional penjagaan kesihatan. Tetapi kami tidak tahu jika jenis mesyuarat pendidikan mana yang lebih baik berbanding yang lain.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Mesyuarat pendidikan termasuklah kursus, seminar, dan bengkel dalam pelbagai format. Doktor dan profesional penjagaan kesihatan lain sering menggunakan mesyuarat pendidikan sebagai sebahagian daripada pendidikan perubatan berterusan. Persatuan perubatan dan majikan dalam sistem penjagaan kesihatan juga menggunakan mesyuarat pendidikan untuk menyampaikan pengetahuan atau jenis penjagaan baharu untuk menggalakkan amalan terbaik. Jenis-jenis mesyuarat boleh jauh berbeza. Misalnya, sesetengah mungkin lebih interaktif, dan yang lain mungkin berasaskan kuliah. Jenis orang yang mengetuai mesyuarat dan jumlah bilangan yang hadir juga berbeza.

Tetapi adakah jenis-jenis mesyuarat ini membawa perubahan? Para pengarang ulasan menilai sama ada profesional kesihatan yang menghadiri mesyuarat pendidikan lebih cenderung mengikuti amalan yang disyorkan. Para pengarang ulasan juga menilai sama ada mesyuarat-mesyuarat ini memperbaik kesihatan pesakit.

Ulasan ini adalah kemaskini ulasan Cochrane terdahulu.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Para pengarang ulasan menyertakan 215 kajian yang relevan melibatkan lebih 28,000 profesional penjagaan kesihatan.

Kebanyakan kajian berasal dari Amerika Utara atau Eropah, walaupun banyak negara lain juga diwakili. Kebanyakan kajian dilakukan di persekitaran penjagaan primer atau penjagaan berasaskan komuniti seperti rumah jagaan, tetapi banyak yang berlangsung di hospital dan persekitaran penjagaan sekunder lain. Kebanyakan profesional penjagaan kesihatan dalam kajian-kajian ini adalah doktor, tetapi kajian juga melihat kepada kumpulan lain, termasuk jururawat, ahli farmasi, ahli fisioterapi dan doktor gigi. Ulasan ini menunjukkan.

Mesyuarat pendidikan sahaja atau sebagai bahagian utama pakej yang lebih besar, berbanding tiada mesyuarat

- Profesional penjagaan kesihatan mungkin lebih cenderung mengikuti amalan yang disyorkan (bukti kepastian sederhana)

- Ini mungkin memperbaik sedikit kesihatan pesakit (bukti kepastian sederhana)

Mesyuarat pendidikan sahaja berbanding strategi lain untuk mengubah tingkah laku profesional penjagaan kesihatan

- Profesional penjagaan kesihatan mungkin lebih cenderung mengikuti amalan yang disyorkan (bukti kepastian rendah)

- Kami tidak tahu tentang kesan terhadap kesihatan pesakit kerana kami tidak menemui kajian yang relevan

Mesyuarat pendidikan interaktif berbanding mesyuarat pendidikan berasaskan kuliah

- Kami tidak tahu tentang kesan terhadap amalan profesional penjagaan kesihatan atau kesihatan pesakit kerana kepastian bukti sangat rendah

Sebarang perbandingan lain pelbagai jenis mesyuarat pendidikan

- Kami tidak tahu tentang kesan terhadap amalan profesional penjagaan kesihatan atau kesihatan pesakit kerana kepastian bukti sangat rendah

Adakah ulasan ini mutakhir?

Para pengarang ulasan mencari kajian-kajian pada November 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information