Adakah pemberian faktor perangsang koloni bersama antibiotik kepada orang demam dan sel darah putih rendah mengurangkan kemasukan ke hospital?

Latar belakang: Orang yang menjalani kemoterapi selalunya mengalami neutropenia febril, yang dicirikan oleh suhu tinggi dan jumlah sel darah putih yang rendah. Neutropenia febril adalah keadaan yang berpotensi mengancam nyawa dan memerlukan intervensi perubatan serta-merta. Rawatan standard untuk neutropenia febril termasuk penjagaan sokongan dengan cecair, elektrolit (sebarang bahan yang mengandungi ion bebas yang boleh mengalirkan elektrik diberikan secara intravena atau secara oral) dan antibiotik sama ada secara oral atau intravena.
Persoalan ulasan:
Sama ada faktor perangsang koloni (CSFs) (hormon yang merangsang penghasilan sel darah putih) ditambahkan kepada antibiotik adalah lebih baik daripada antibiotik sahaja dalam rawatan neutropenia febril disebabkan oleh kemoterapi kanser?
Tarikh carian literatur: Mac 2014 dan Mei 2015 untuk penilaian ekonomi.
Penemuan utama:
Kami mengenalpasti 14 kajian rawak terkawal (RCTs) yang mendaftarkan sejumlah 1553 peserta. Enam kajian dibiayai oleh industri dan 3 kajian dibiayai bersama oleh industri dan sumber awam dan hanya 1 kajian dibiayai oleh sumber awam. Kajian kami menunjukkan bahawa walaupun CSFs tidak meningkatkan kemandirian, ia memendekkan jumlah masa seseorang berada di hospital dan meningkatkan kemungkinan sel darah putih pulih ke paras normal. Tidak jelas sama ada penggunaan CSF mengurangkan bilangan orang yang mati akibat jangkitan. Kajian kami menunjukkan bahawa CSFs memendekan masa yang diperlukan untuk sel darah putih kembali ke paras normal, pemulihan daripada demam dan penghentian antibiotik. Bilangan pesakit yang mengalami kemudaratan berkaitan rawatan seperti pembekuan darah di dalam vena adalah sama antara pesakit yang menerima CSF dan antibiotik dan antibiotik sahaja. Bilangan pesakit yang mengalami sakit tulang atau sendi atau simptom seperti selsema adalah lebih tinggi dalam kalangan individu yang menerima CSF dan antibiotik berbanding individu yang menerima antibiotik sahaja. Tiada penilaian ekonomi yang dikenalpasti. Beberapa RCTs yang disertakan mengenalpasti manfaat ekonomi mengenai pengurangan keseluruhan tempoh penginapan yang berpunca daripada penggunaan CSF bersama antibiotik, namum mereka gagal melaksanakan penilaian ekonomi yang menyeluruh.
Kualiti bukti
Kualiti metodologi keseluruhan kajian yang disertakan adalah sederhana hingga rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information