Adakah penghalang reseptor angiotensin ('Angiotensin receptor blockers', ARBs) satu rawatan yang berkesan untuk kegagalan jantung?

Ubat yang dikenali sebagai penghalang reseptor angiotensin (ARBs), seperti losartan (jenama: Cozaar), candesartan (Atacand), Eprosartan (Teveten), Irbesartan (Avapro), telmisartan (Micardis) dan valsartan (Diovan) biasanya digunakan untuk merawat kegagalan jantung . Kami bertanya sama ada ARBs boleh mengurangkan kematian atau kehilangan upaya sebagaimana yang dinilai oleh kemasukan hospital untuk sebarang punca berbanding dengan bahan lengai (plasebo) atau satu lagi kelas ubat yang dikenali sebagai perencat ACE (ACE Inhibitors), seperti ramipril (Altace), captopril (Capoten), enalapril (Vasotec) , fosinopril (Monopril), lisinopril (Prinivil, Zestril), dan quinapril (Accupril). Kami juga bertanya sama ada menggabungkan ARB dengan perencat ACE adalah lebih berkesan daripada perencat ACE sahaja dalam mengurangkan kematian, hilang upaya atau kemasukan hospital atas sebarang punca. Kesusasteraan saintifik telah dinilai untuk mencari semua kajian yang telah menilai soalan-soalan ini.

Kami mendapati 24 kajian yang memperuntukkan peserta secara rawak untuk mengambil sama ada ARB atau bahan kawalan (plasebo atau ACEI). Kajian-kajian ini telah menilai ARBs dalam 25,051 pesakit yang mengalami kegagalan jantung dan mengikuti mereka selama 2 tahun. ARBs didapati tidak lebih baik daripada plasebo atau perencat ACE dalam mengurangkan risiko kematian, hilang upaya, atau kemasukan hospital atas sebarang punca. Namun demikian, lebih ramai pesakit berhenti rawatan awal dengan ARBs berbanding dengan plasebo disebabkan kesan sampingan. Tambahan ARB kepada ACEI juga tidak mengurangkan risiko kematian, hilang upaya atau kemasukan hospital atas sebarang punca berbanding dengan ACEI sahaja, walaupun lebih banyak pesakit yang mengambil kombinasi berhenti awal disebabkan kesan sampingan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information