Rawatan di rumah berbanding rawatan pesakit dalam untuk klot darah vena dalam

Latar belakang

Trombosis vena dalam (DVT) berlaku apabila klot darah menghalang aliran darah melalui vena, biasanya di kaki. Ini boleh berlaku selepas pembedahan, selepas trauma, apabila seseorang itu tidak bergerak untuk tempoh lama, atau tiada sebab yang jelas. Klot boleh tertanggal dan menyekat aliran darah ke paru-paru (embolisme pulmonari (PE)), yang boleh membawa maut. DVT dan PE dikenali sebagai tromboembolisme vena (VTE). Heparin adalah ubat pencairan darah yang diguna untuk merawat DVT dalam tempoh tiga hingga lima hari pertama. Heparin bukan terpecah (UFH) diberi secara intravena di hospital dengan pemantauan makmal. Heparin berat molekul rendah (LMWH) diberi melalui suntikan subkutaneus sekali sehari dan boleh diberikan di rumah. Antikoagulan oral kemudian diteruskan untuk tiga hingga enam bulan. Selepas pulih dari episod akut, orang mungkin mengalami sindrom selepas trombosis dengan bengkak kaki, urat varikos, dan ulser.

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Tujuh kajian rawak terkawal melibatkan 1839 pesakit dengan DVT yang disahkan secara klinikal membanding rawatan di rumah (LMWH) dengan rawatan hospital (heparin bukan terpecah atau LMWH dalam satu kajian). Kajian-kajian mempunyai batasan, termasuk kadar pengecualian yang tinggi dan reka bentuk yang tidak mengambil kira tempoh tinggal di hospital yang pendek untuk orang yang dirawat di rumah bagi membolehkan perbandingan heparin yang adil di hospital dengan LMWH di rumah.

Kajian menunjukkan pesakit yang dirawat di rumah dengan LMWH kurang VTE berulang berbanding pesakit yang dirawat di hospital. Ulasan tidak menunjukkan perbezaan yang jelas di antara kumpulan-kumpulan rawatan untuk perdarahan major, pendarahan minor, atau kematian. Tiada kajian melaporkan gangren vena. Kami tidak dapat mengumpulkan maklumat mengenai kepuasan dan kualiti hidup pesakit, kerana kajian-kajian mempunyai cara laporan yang berbeza, tetapi dua dari tiga kajian yang melaporkan tentang kualiti hidup memberi bukti rawatan di rumah memperbaiki kualiti hidup lebih baik berbanding dengan rawatan pesakit dalam, pada beberapa ketika semasa susulan. Kajian ketiga melaporkan sebilangan besar peserta memilih untuk beralih dari penjagaan pesakit dalam kepada penjagaan di rumah kerana alasan sosial dan peribadi, menunjukkan rawatan di rumah diterima lebih baik daripada rawatan pesakit dalam. Kajian yang melihat kos mendapati kos pengurusan di rumah adalah lebih rendah dalam setiap insiden rawatan.

Kualiti bukti

Secara keseluruhannya, kualiti bukti data yang tersedia adalah rendah hingga sangat rendah disebabkan oleh risiko bias, secara tidak langsung, dan perbezaan dalam mengukur dan melaporkan hasil. Risiko bias adalah satu kebimbangan, kerana banyak kajian yang dimasukkan tidak menjelaskan sepenuhnya cara mereka merawak dan memperuntukkan peserta untuk rawatan, dan teknik pembutaan yang diterangkan adalah tidak jelas. Pembutaan penuh adalah sukar jika tidak mustahil untuk jenis rawatan (rumah berbanding hospital), tetapi beberapa teknik boleh dilaksanakan seperti menggunakan ubat rawatan yang sama atau membutakan mereka yang mengukur hasil. Satu lagi kebimbangan para pengulas adalah di dalam beberapa kajian, peserta yang dirawak untuk rawatan di rumah akhirnya dirawat di hospital tetapi tetap berada di dalam rawatan yang peruntukkan untuk analisis (ini dikenali sebagai tidak langsung). Ini menyukarkan untuk menentukan sama ada keputusan kajian sebenar boleh digunakan untuk menjawab persoalan sama ada rawatan di rumah berbanding dengan hospital untuk DVT adalah lebih baik. Kebimbangan lain adalah mengenai variasi dalam cara beberapa hasil diukur dan dilaporkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information