Soalan ulasan
Tujuan ulasan ini adalah untuk membandingkan kesan penenang (menenangkan) atau sedatif (mengantuk) benzodiazepina, yang diberi bersendirian atau digabung dengan ubat lain berbanding kesan plasebo (rawatan palsu), ubat lain atau rawatan bukan ubatan untuk pesakit yang agresif atau gelisah kerana sedang mengalami psikosis.
Latar belakang
Psikosis akut adalah keadaan mental seseorang yang cepat bertambah teruk di mana sentuhan realiti lazim hilang. Pesakit boleh mengalami khayalan atau halusinasi menakutkan yang meresahkan dan boleh menyebabkan tingkah laku gelisah atau agresif. Dalam kes mendesak, agitasi atau keagresifan boleh mengakibatkan kecederaan kepada orang yang mengalami psikosis atau orang lain di sekitar mereka. Untuk mengelakkan kecederaan sedemikian, penenangan segera atau dengan ubat-ubatan sedatif mungkin perlu. Ubat yang paling lazim diguna untuk mencapai keadaan tenang atau sedatsi adalah benzodiazepina dan ia boleh diberi sama ada bersendirian atau gabungan dengan antipsikotik.
Carian
Carian asal untuk ulasan ini dijalankan pada Januari 2012 dan kemudiannya dua carian kemaskini seterusnya dijalankan pada Ogos 2015 dan Ogos 2016. Carian tersebut menemui sejumlah 2497 rekod, di mana pengarang ulasan memeriksa untuk inklusi atau eksklusi daripada ulasan. Pengarang hanya memasukkan rekod jika ia adalah kajian rawak (kajian klinikal di mana pesakit dibahagikan secara rambang kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang memperuntukkan orang dengan psikosis akut yang menunjukkan agitasi, tingkah laku agresif ganas (atau gabungan) untuk menerima benzodiazepina yang diberi berasingan atau digabung dengan sebarang antipsikotik, berbanding plasebo, antipsikotik sahaja atau gabungan dengan antipsikotik lain/benzodiazepina/antihistamin atau rawatan bukan ubatan.
Bukti yang ditemui
Sejumlah, 20 kajian telah disertakan. Keseluruhannya, kualiti bukti adalah rendah atau sangat rendah akibat risiko bias yang serius dan saiz kecil kajian yang dimasukkan. Tiada perbezaan ketara dalam pembaikan antara benzodiazepina dan plasebo, benzodiazepina dan antipsikotik atau benzodiazepina ditambah antipsikotik dan benzodiazepina sahaja atau antipsikotik sahaja. Apabila benzodiazepina dibanding dengan gabungan antipsikotik/antihistamin, terdapat risiko bias yang lebih tinggi untuk tiada pembaikan dalam kalangan orang yang menerima benzodiazepina sahaja tetapi bukti adalah berkualiti rendah. Hanya satu kajian menunjukkan kesan gabungan benzodiazepina/antipsikotik yang rendah berbanding gabungan antihistamin/antipsikotik. Walau bagaimanapun, bukti tersebut adalah berkualiti sangat rendah. Dari segi kesan sampingan, orang yang menerima benzodiazepina berbanding antipsikotik berisiko lebih rendah untuk menunjukkan simptom seperti menggeletar, tremor dan percakapan tidak jelas manakala keputusan sedasi adalah tidak jelas.
Kesimpulan
Kajian sedia ada tidak memberi cukup maklumat untuk menyokong atau menyangkal penggunaan benzodiazepina sahaja atau dengan tambahan kepada ubat lain apabila penenangan segera atau sedasi dengan ubat diperlukan. Walaupun benzodiazepina sahaja mungkin menyebabkan kurang kesan sampingan berbanding antipsikotik terdahulu, apabila ia ditambah kepada ubat lain ini mungkin membawa kepada kesan sampingan yang tidak perlu. Kajian lanjutan diperlukan untuk memberi bukti berkualiti bagus dengan kesimpulan kukuh untuk makluman praktis dan polisi tentang penenangan segera untuk orang dengan psikosis yang agresif atau gelisah.
Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.