Apakah faedah dan risiko methotrexate untuk artritis idiopatik juvenil?

Mesej utama

• Berbanding plasebo (pil palsu), methotrexate (sejenis ubat untuk menghentikan atau melambatkan radang artritis) boleh menyebabkan lebih ramai kanak-kanak dan orang muda mencapai perbaikan gejala pada enam bulan, dengan sedikit atau tiada kesan terhadap kesakitan, kesejahteraan, risiko kesan serius yang tidak diingini atau bilangan orang yang menghentikan rawatan (sarak) akibat kesan yang tidak diingini.
• Berbanding tanpa methotrexate, methotrexate mungkin mempunyai manfaat dan mudarat yang sama terhadap kanak-kanak dan orang muda dengan artritis oligoartikular (sejenis artritis yang melibatkan kurang daripada lima sendi) pada 12 bulan apabila diberikan bersama dengan steroid intra-artikular (diberikan ke dalam sendi), dengan sedikit atau tiada kesan pada keredaan atau sarak akibat kesan yang tidak diingini.
• Methotrexate mungkin mempunyai manfaat dan mudarat yang sama dengan leflunomide (ubat artritis anti-radang alternatif) terhadap kanak-kanak dan orang muda pada empat bulan, dengan sedikit atau tiada kesan terhadap perbaikan gejala, fungsi, kesejahteraan, risiko kesan serius yang tidak diingini, atau sarak akibat kesan yang tidak diingini.

Apakah itu artritis idiopatik juvenil?

Artritis idiopatik juvenil adalah penyakit reumatik yang paling biasa dalam zaman kanak-kanak, di mana sistem imun yang biasanya melawan jangkitan menyerang lapisan sendi, menjadikannya bengkak, kaku, dan menyakitkan.

Bagaimanakah artritis idiopatik juvenil dirawat?

Artritis idiopatik juvenil dirawat dengan kumpulan ubat yang dipanggil ubat antireumatik pengubahsuai penyakit (DMARD), yang dapat membantu mencegah kerosakan pada sendi dan melegakan kesakitan dan kekakuan. Methotrexate ialah DMARD yang paling biasa digunakan. Rawatan-rawatan lain termasuk ubat anti-radang tanpa steroid dan steroid.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada methotrexate lebih baik daripada tanpa rawatan, plasebo (pil palsu), atau DMARD alternatif untuk memperbaik gejala (sendi sakit dan bengkak), kesakitan, fungsi, dan kesejahteraan. Kami juga ingin mengetahui sama ada methotrexate mempunyai sebarang kesan serius yang tidak diingini, atau jika orang mungkin berhenti menggunakan methotrexate disebabkan kesan yang tidak diingini.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang mengkaji methotrexate berbanding dengan plasebo atau DMARD alternatif di kalangan kanak-kanak dan orang muda dengan artritis idiopatik juvenil.

Apa yang telah kami temui?

Ini adalah kemas kini ulasan Cochrane yang diterbitkan pertama kalinya pada 2001. Kami telah menyertakan lima kajian dengan sejumlah 575 orang peserta. Tiga kajian membandingkan methotrexate dengan plasebo, satu membandingkan methotrexate beserta terapi steroid intra-artikular (diberikan ke dalam sendi) dengan terapi steroid intra-artikular sahaja, dan satu membandingkan methotrexate dengan DMARD alternatif (leflunomide). Kajian ini dijalankan di Australia, Austria, Kanada, Denmark, Finland, Perancis, Jerman, India, Itali, Belanda, New Zealand, bekas Kesatuan Soviet, Sepanyol, Switzerland, UK, dan Amerika Syarikat.

Methotrexate berbanding dengan plasebo

Methotrexate berbanding dengan plasebo mungkin meningkatkan kebarangkalian gejala bertambah baik tetapi mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kesakitan atau kesejahteraan sehingga enam bulan. Kajian mengukur perbaikan gejala (bilangan sendi yang sakit atau bengkak dan kesan lain seperti kesakitan dan kehilangan upaya) dengan menggunakan indeks komposit. Pada enam bulan, 40% peserta yang menggunakan methotrexate dan 24% peserta yang menggunakan plasebo melaporkan gejala yang bertambah baik. Pada enam bulan, 49% peserta yang menggunakan methotrexate dan 40% peserta yang menggunakan plasebo melaporkan rawatan yang berjaya. Kajian telah mengukur kesakitan pada skala 0 hingga 100 (0 bermaksud tiada kesakitan). Pada enam bulan, kesakitan yang dilaporkan adalah 12.6 mata lebih rendah dalam kumpulan methotrexate dan 11.5 mata lebih rendah dalam kumpulan plasebo.

Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara methotrexate dan plasebo dalam risiko kejadian serius yang tidak diingini atau kadar penarikan diri daripada rawatan disebabkan kejadian yang tidak diingini sehingga enam bulan. Kejadian serius yang tidak diingini termasuk dos berlebihan yang tidak disengajakan dalam kumpulan methotrexate dan kesakitan abdomen yang teruk dalam kumpulan plasebo. Kurang daripada 1% kanak-kanak dan orang muda yang menerima methotrexate mengalami kejadian serius yang tidak diingini, berbanding 1.4% daripada mereka yang menerima plasebo. Tidak ada penarikan diri disebabkan kejadian yang tidak diingini dalam kumpulan plasebo dan enam penarikan diri disebabkan kejadian yang tidak diingini dalam kumpulan methotrexate.

Tiada kajian yang mengukur fungsi atau bilangan peserta dengan penyakit yang tidak aktif secara klinikal.

Perbandingan lain

Kajian tunggal menunjukkan bahawa methotrexate mungkin tidak mempunyai sebarang manfaat tambahan apabila digunakan bersama dengan suntikan glukokortikoid intra-artikular, atau dibandingkan dengan leflunomide.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai keyakinan rendah terhadap bukti, yang mungkin meremehkan kesan terapeutik methotrexate disebabkan dos yang suboptimal, kadar kejadian yang rendah, dan bilangan peserta yang sedikit dalam kajian. Kami tidak pasti akan risiko kejadian serius yang tidak diingini dan kejadian tidak diingini yang membawa kepada penarikan diri daripada rawatan kerana bilangan kejadian adalah sangat kecil.

Kami tidak membandingkan kaedah penyampaian methotrexate yang berlainan (seperti tablet, suntikan) atau dos methotrexate yang berlainan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini setakat 1 Februari 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).

Tools
Information