Ejen-ejen anti-platelet dan antikoagulasi untuk tekanan darah tinggi (hipertensi)

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti yang mengkaji sama ada ejen antiplatelet mengurangkan jumlah kematian atau kejadian trombotik utama atau kedua-duanya pada pesakit dengan tekanan darah (BP) tinggi apabila dibandingkan dengan plasebo atau rawatan aktif lain. Kami juga menilai sama ada antikoagulan oral mengurangkan jumlah kematian atau kejadian trombotik utama atau kedua-duanya dalam pesakit ini apabila dibandingkan dengan plasebo atau rawatan aktif lain.

Latar belakang

Walaupun peningkatan sistemik (arteri) dalam BP mengakibatkan tekanan intravaskular yang tinggi, komplikasi utama peningkatan BP, kejadian penyakit jantung koronari, strok iskemia, dan penyakit vaskular periferal, adalah dikaitkan dengan trombosis.

Kami ingin mengetahui sama ada penggunaan terapi antitrombotik atau antiplatelet mungkin memberi manfaat khusus untuk pencegahan sekunder dalam mengurangkan jumlah kematian atau kejadian trombotik utama atau kedua-duanya pada pesakit dengan tekanan darah tinggi. Tambahan pula, kami cuba menentukan sama ada penggunaan terapi antitrombotik atau antiplatelet mungkin bermanfaat untuk pencegahan utama dalam mengurangkan jumlah kematian atau kejadian trombotik utama atau kedua-duanya pada pesakit dengan BP tinggi.

Tarikh pencarian

Kemas kini ulasan sistematik yang diterbitkan sebelum ini adalah terkini hingga Januari 2021.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan enam kajian dengan jumlah gabungan 61,015 pesakit dalam ulasan ini. Empat kajian adalah pencegahan primer (41,695 pesakit; HOT, JPAD, JPPP, dan TPT) dan dua adalah pencegahan sekunder (19,320 pesakit; CAPRIE dan Huynh). Empat kajian adalah terkawal plasebo (HOT, JPAD, JPPP, dan TPT) dan kaua ujian memasukkan pembanding aktif (CAPRIE dan Huynh). CAPRIE 1996 memasukkan pesakit dari 16 negara di Eropah dan Amerika Syarikat dengan strok iskemia baru-baru ini, infarksi miokardium (MI) baru-baru ini atau penyakit vaskular periferal bergejala (PVD). Purata umur pesakit ialah 62.5 tahun. 72% daripada pesakit adalah lelaki, dan 95% daripada pesakit adalah Kaukasia. HOT 1998 memasukkan pesakit dari 26 negara, berumur 50 hingga 80 tahun (purata 61.5 tahun) dengan hipertensi. Dalam TPT 1998, lelaki berumur antara 45 dan 69 tahun (purata 57.5 tahun) berisiko tinggi penyakit jantung iskemia telah direkrut daripada 108 amalan di UK. Huynh 2001 memasukkan pesakit dari Kanada dengan purata umur 67 tahun dan dengan angina tidak stabil atau MI tinggi bukan segmen ST, dengan cantuman pintasan arteri koronari (CABG) terdahulu, dan mereka yang merupakan calon yang lemah untuk prosedur revaskularisasi. JPAD 2012 memasukkan pesakit dari Jepun dengan diabetes jenis 2, umur purata 65 tahun dan 55% lelaki. JPPP 2019 memasukkan pesakit Jepun dengan faktor risiko aterosklerotik (hipertensi, diabetes mellitus, atau dislipidemia). Umur median adalah 70 tahun dan 42% pesakit adalah lelaki.

Keputusan utama

Terapi antiplatelet dengan asid acetylsalicylic (ASA), juga dikenali sebagai aspirin, untuk pencegahan primer pada pesakit dengan BP tinggi tidak mengubahsuai kematian dan meningkatkan risiko pendarahan utama.

Terapi antiplatelet dengan aspirin mungkin mengurangkan risiko tidak membawa maut dan semua kejadian kardiovaskular jika dibandingkan dengan clopidogrel. Clopidogrel meningkatkan risiko kejadian pendarahan utama apabila dibandingkan dengan aspirin pada pesakit dengan BP tinggi untuk pencegahan sekunder.

Tiada bukti bahawa antikoagulasi oral dengan warfarin mengubahsuai mortaliti pada pesakit dengan BP tinggi untuk pencegahan sekunder.

Ticlopidine, clopidogrel, dan ejen antiplatelet yang lebih baru, seperti prasugrel dan ticagrelor tidak dinilai dengan mencukupi pada pesakit dengan BP tinggi. Ubat oral antitrombotik yang lebih baru (dabigatran, rivaroxaban, apixaban, dan edoxaban) masih belum diuji pada pesakit dengan BP tinggi.

Kepastian bukti

Kebanyakan bukti dalam ulasan ini dikaitkan dengan bukti berkepastian rendah. Risiko berat sebelah yang tinggi nampaknya dikaitkan dengan data hasil yang tidak lengkap dan pelaporan terpilih dalam dua kajian (Huynh dan JPPP).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wan Anisa Hanim Binti Mohd Nasir@Azman (Klinik Pergigian Kok Lanas). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information