Diet atau suplemen manakah yang paling berkesan untuk mencegah dan merawat ulser tekanan dan adakah mereka menyebabkan kesan yang tidak diingini?

Mesej utama

• Disebabkan kekurangan bukti yang kukuh, faedah-faedah dan kesan-kesan yang tidak diingini oleh kebanyakan diet dan suplemen untuk pencegahan dan rawatan ulser tekanan adalah tidak jelas.

• Tenaga, protein dan mikronutrien; protein, arginin, zink dan antioksidan; arginin dan mikronutrien; dan suplemen kolagen mungkin lebih baik daripada diet standard sahaja untuk menyembuhkan ulser tekanan.

• Kami memerlukan lebih banyak kajian-kajian yang lebih baik dengan sampel yang lebih besar, dan masa rawatan susulan yang lebih panjang, yang meneliti hasil yang sama, untuk menentukan kesan sebenar intervensi nutrisi bagi pencegahan dan rawatan ulser tekanan.

Apakah intervensi nutrisi?

Intervensi nutrisi ialah makanan khas atau makanan tambahan sebagai tambahan kepada diet biasa seseorang untuk membantu kesihatan am atau untuk keadaan tertentu. Ia mungkin ada kalori tambahan, makronutrien (seperti protein) atau mikronutrien (seperti vitamin atau mineral). Ia boleh diberikan melalui mulut atau melalui tiub (dipanggil suapan tiub). Ia juga boleh diberikan melalui infusi atau suntikan (nutrisi parenteral).

Mengapakah nutrisi penting untuk orang yang mengalami ulser tekanan atau berisiko mendapat ulser tekanan?

Ulser tekanan juga dikenali sebagai luka tekan, luka katil dan ulser dekubitus. Ia adalah kecederaan terhadap kulit atau tisu di bawahnya, atau kedua-duanya, disebabkan oleh tekanan, ricih dan geseran. Tekanan pada kulit mengurangkan sirkulasi; ricih ialah apabila lapisan kulit dan tisu berengsot antara satu sama lain, apabila pesakit bergerak di atas katil, contohnya; dan geseran ialah apabila kulit bergesel dengan cadar atau pakaian. Ulser tekanan biasanya terbentuk pada bahagian badan yang bertulang, seperti tumit atau tulang ekor. Orang yang tidak bergerak, akibat terjatuh atau pembedahan, sebagai contohnya, atau yang mempunyai keadaan seperti diabetes atau penyakit vaskular adalah berisiko untuk mendapat ulser tekanan. Jika mereka mempunyai nutrisi yang rendah, mereka mungkin lebih berisiko untuk mendapat ulser tekanan dan keadaan ini mungkin lebih teruk.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada intervensi nutrisi membantu mencegah orang ramai daripada mengalami ulser tekanan dan menggalakkan penyembuhan ulser tekanan yang sedia ada.

Kami berminat dengan kesan intervensi pemakanan terhadap:

• perkembangan atau penyembuhan ulser tekanan

• kemungkinan kesan-kesan tidak diingini yang dialami oleh individu

• kualiti hidup individu

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian-kajian yang telah mengkaji sebarang bentuk intervensi nutrisi berbanding dengan diet biasa, plasebo (ubat sulih) atau intervensi nutrisi yang lain. Kami telah membandingkan dan meringkaskan hasil kajian yang mengkaji intervensi nutrisi yang sama dan telah menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah kajian dan saiz sampel.

Apakah yang kami dapati?

Kami telah menemui 33 kajian yang melibatkan 7920 orang. Sebelas kajian melihat kesan intervensi nutrisi untuk mencegah ulser tekanan dan 24 kajian menilai intervensi nutrisi untuk merawat ulser tekanan. Antaranya, dua kajian telah mengkaji kesan ke atas kedua-dua pencegahan dan rawatan ulser tekanan.

Keputusan utama

Mencegah ulser tekanan pada orang yang berisiko untuk mendapatnya

• Suplemen tenaga, protein dan mikronutrien mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada pembentukan ulser tekanan (3 kajian, 1634 orang).

• Suplemen protein mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam pembentukan ulser tekanan (4 kajian, 4264 orang). Ia adalah tidak jelas sama ada suplemen protein menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini.

• ia adalah tidak jelas sama ada suplemen lain mempunyai kesan ke atas pembentukan ulser tekanan.

Merawat orang yang mengalami ulser tekanan

• Suplemen tenaga, protein dan mikronutrien boleh meningkatkan bilangan orang yang ulser tekanan telah sembuh, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusan ini (3 kajian, 577 orang). Ia adalah tidak jelas sama ada suplemen tenaga, protein dan mikronutrien menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini.

• Berbanding dengan diet standard, kami tidak pasti sama ada suplemen protein, arginin, zink dan antioksidan meningkatkan penyembuhan ulser tekanan, (2 kajian, 71 orang). Kami tidak tahu sama ada suplemen protein, arginin, zink dan antioksidan menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini.

• Suplemen arginin dan mikronutrien mungkin tidak meningkatkan bilangan ulser tekanan yang telah sembuh, tetapi ia mungkin meningkatkan sedikit penyembuhan ulser tekanan (2 kajian, 231 orang). Ia adalah tidak jelas sama ada intervensi ini mempunyai kesan terhadap kebolehterimaan dan kesan yang tidak diingini.

• Suplemen kolagen mungkin meningkatkan penyembuhan ulser tekanan (1 kajian, 74 orang). Intervensi ini mungkin meningkatkan kesan yang tidak diingini, tetapi kami amat tidak pasti tentang keputusan ini.

• ia adalah tidak jelas sama ada suplemen lain mempunyai kesan ke atas penyembuhan ulser tekanan.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai sedikit atau sangat sedikit keyakinan terhadap penemuan kami disebabkan kebanyakan kajian adalah kecil, berkualiti rendah dan tidak memberikan data tentang semua yang kami minati. Kira-kira separuh daripada kajian telah dibiayai atau disokong oleh syarikat farmaseutikal, yang mungkin mempengaruhi keputusan tersebut. Kami tidak boleh menggunakan data daripada kajian tentang beberapa jenis intervensi pemakanan kerana diet atau suplemen hanya diperiksa dalam satu kajian.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Ulasan adalah terkini sehingga Mei 2022.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia).

Tools
Information