Melatih penyedia penjagaan kesihatan untuk menjadi lebih 'berpusatkan pesakit' dalam konsultasi klinikal

Masalah mungkin timbul apabila penyedia penjagaan kesihatan menumpu pada pengurusan penyakit dan bukannya kepada orang dan masalah kesihatan mereka. Pendekatan berpusatkan pesakit untuk penyampaian penjagaan dalam pertemuan pesakit semakin dianjurkan oleh pengguna dan doktor dan disertakan ke dalam latihan untuk penyedia penjagaan kesihatan. Kami mengemas kini ulasan sistematik tahun 2001 tentang kesan intervensi latihan ini untuk penyedia penjagaan kesihatan yang bertujuan untuk mempromosi penjagaan berpusatkan pesakit dalam konsultasi klinikal.

Kami menemui 29 kajian rawak baru (sehingga Jun 2010), menjadikan jumlah kajian yang disertakan dalam ulasan kepada 43. Dalam kebanyakan kajian, intervensi latihan ditujukan kepada doktor penjagaan primer (pengamal perubatan am, internis, pakar pediatrik atau doktor keluarga) atau jururawat yang berkhidmat dalam komuniti atau seting pesakit luar di hospital. Beberapa kajian melatih pakar. Pesakit kebanyakannya orang dewasa dengan masalah perubatan am, walaupun dua kajian menyertakan kanak-kanak yang menghidap asma.

Kajian menunjukkan bahawa pelatihan penyedia untuk meningkatkan keupayaan mereka untuk berkongsi kawalan dengan pesakit tentang topik dan keputusan yang dibincang dalam konsultasi sebahagian besarnya berjaya dalam mengajar kemahiran baru kepada penyedia. Latihan jangka pendek (kurang daripada 10 jam) mencapai kejayaan yang sama dalam hal ini seperti latihan yang diberi dalam jangka masa yang lebih lama. Hasil bercampur-campur tentang sama ada pesakit lebih berpuas hati apabila penyedia mengamalkan kemahiran ini. Kesan terhadap kesihatan umum juga bercampur-campur, walaupun data terhad yang boleh dikumpulkan menunjukkan kesan positif yang kecil terhadap status kesihatan. Tingkah laku kesihatan khusus pesakit menunjukkan penambahbaikan dalam bilangan kajian yang kecil di mana intervensi menggunakan latihan penyedia yang digabung dengan bahan pendidikan dan/atau latihan khusus kepada keadaan untuk pesakit, seperti mengajar pertanyaan soalan semasa konsultasi atau pengambilan ubat selepas konsultasi. Walau bagaimanapun, bilangan kajian adalah terlalu kecil untuk menentukan elemen kajian pelbagai aspek yang penting dalam membantu pesakit mengubah tingkah laku penjagaan kesihatan mereka.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tang Kar Foong (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information