Antibiotik profilaksis untuk mencegah jangkitan gram-positif yang berkaitan dengan kateter vena pusat berjangka panjang dalam orang dewasa dan kanak-kanak yang menerima rawatan untuk kanser

Isunya
Pesakit yang menjalani rawatan anti-kanser (kemoterapi) selalunya mempunyai kateter (tiub) yang dimasukkan ke dalam vena besar, di mana kemoterapi mereka diberikan. Ini dikenali sebagai kateter vena pusat (CVC). Oleh sebab kemoterapi biasanya diberikan selama beberapa bulan hingga tahun, CVC berjangka panjang digunakan. Walaupun kemasukan dan penjagaan selepas itu adalah steril, CVC sering dijangkiti oleh sejenis bakteria yang dipanggil bakteria gram-positif. Pemberian antibiotik sebagai pencegahan (antibiotik profilaksis) sebelum kateter dimasukkan, atau menggunakan antibiotik sebagai larutan kunci atau flush, atau kedua-duanya, boleh mencegah jangkitan ini. Larutan kunci/flush diselitkan ke dalam kateter apabila ia tidak digunakan. Larutan ini selalunya mengandungi heparin, saline, atau kedua-duanya, untuk mengelakkan bekuan terbentuk dalam kateter.

Tujuan ulasan
Matlamat ulasan ini adalah untuk menentukan sama ada pemberian antibiotik sebelum kemasukan kateter atau sebagai larutan kunci/flush boleh mencegah jangkitan berkaitan CVC gram-positif.

Apakah penemuan utama?
Kami mencari pangkalan data untuk mengenal pasti kajian rawak terkawal (RCT - kajian klinikal di mana peserta dimasukkan secara rawak ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan). Kami telah mengenal pasti 12 kajian yang berkaitan, yang merangkumi sejumlah 1244 orang dewasa dan kanak-kanak yang menghidap kanser.

Kami memasukkan enam kajian (756 orang) yang membandingkan pemberian antibiotik sebelum kemasukan CVC dengan tidak memberi antibiotik. Kami mendapati bahawa pemberian antibiotik sebelum kemasukan CVC tidak mencegah jangkitan. Penulis kajian tidak menerangkan kesan sampingan.

Kami memasukkan enam kajian (488 orang) yang membandingkan larutan antibiotik dengan larutan heparin sahaja untuk flush/kunci CVC. Kami mendapati bahawa larutan kunci/flush antibiotik mengurangkan bilangan jangkitan berkaitan CVC. Pesakit dalam satu kajian melaporkan rasa yang tidak menyenangkan selepas flush, dan satu kajian mendapati terdapat kurang sumbatan CVC (cth bekuan) pada orang yang menerima gabungan larutan antibiotik dan antikoagulan.

Kepastian bukti
Kami mempunyai keyakinan yang sederhana terhadap bukti untuk memberi antibiotik sebelum kemasukan CVC dan larutan kunci/flush antibiotik kerana kajian dilakukan pada orang yang berbeza, menggunakan jenis kateter dan antibiotik yang berbeza, dan cara ukuran keputusan yang berbeza.

Apakah kesimpulannya?
Kami tidak menjumpai sebarang faedah pemberian antibiotik sebelum kemasukan CVC jangka panjang untuk mencegah jangkitan berkaitan CVC gram-positif. Lock/flush CVC jangka panjang dengan antibiotik nampaknya mengurangkan jangkitan berkaitan CVC gram-positif pada penghidap kanser. Perlu diingatkan bahawa penggunaan larutan flush/lock antibiotik boleh meningkatkan rintangan antibiotik mikrob, oleh itu ia harus dikhaskan untuk orang yang berisiko tinggi atau jika kadar jangkitan berkaitan CVC asas adalah tinggi.

Ulasan ini mengemas kini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga 19 November 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (Pusat Perubatan Universiti Malaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information