Apakah matlamat ulasan ini?
Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk membandingkan pelbagai alat bantuan membaca untuk orang dengan penglihatan yang rendah. Penulis Ulasan Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan mendapati 13 kajian.
Mesej-mesej utama
Terdapat bukti yang tidak cukup untuk menyokong penggunaan jenis bantuan membaca elektronik atau optik tertentu. Ulasan ini mencadangkan kelajuan membaca diperbaiki dengan penggunaan peranti elektronik yang dipasang. Terdapat sedikit bukti untuk perbezaan di antara alat elektronik yang dipasang pada kepala atau peranti mudah alih elektronik berbanding peranti optik atau elektronik lain, walaupun teknologi mungkin telah bertambah baik sejak kajian ini berlangsung. Tiada bukti untuk menyokong penggunaan cermin mata penapis atau prisma.
Apa yang dikaji dalam ulasan ini?
Bilangan orang dengan penglihatan yang rendah semakin meningkat dengan populasi yang semakin tua. Alat bantuan optik dan elektronik yang mebesarkan lazim dipreskrib untuk membantu orang mengekalkan keupayaan untuk membaca apabila penglihatan mereka mula pudar. Penulis Cochrane mengulas bukti untuk kesan alat bantuan membaca terhadap keupayaan membaca dalam kalangan orang dengan penglihatan yang rendah untuk mengetahui sama ada terdapat perbezaan dalam prestasi membaca menggunakan peranti optik konvensional, seperti pembesar mikroskopik pegang tangan atau berdiri, berbanding peranti elektronik seperti televisyen litar tertutup berdiri dan pembesar elektronik pegang tangan.
Penulis Ulasan Cochrane menilai kepastian bukti untuk setiap penemuan ulasan. Mereka mencari faktor-faktor yang boleh membuat bukti kurang pasti, seperti masalah dengan cara kajian dilakukan, kajian yang sangat kecil, dan penemuan yang tidak konsisten merentasi kajian-kajian. Mereka juga mencari faktor-faktor yang boleh membuat bukti lebih pasti, termasuk kesan yang sangat besar. Mereka mengred setiap penemuan sebagai kepastian yang sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.
Apakah keputusan utama ulasan?
Penulis Ulasan Cochrane mendapati 13 kajian yang relevan. Tujuh dari Amerika Syarikat, lima dari UK dan satu dari Kanada. Kajian-kajian tersebut membandingkan kesan pelbagai alat bantuan membaca kepada prestasi membaca, terutamanya kelajuan membaca. Para peserta adalah orang dewasa yang menghadiri perkhidmatan penglihatan rendah. Kebanyakan orang terjejas oleh degenerasi makula, yang menyebabkan kehilangan penglihatan pusat dan sering berkaitan dengan usia. Oleh kerana kebanyakan kajian adalah kecil, keputusannya sering tidak tepat, dan sukar untuk mengetahui sama ada ia dapat diaplikasi kepada semua orang dengan penglihatan rendah.
Keputusan adalah seperti berikut.
• Kelajuan membaca mungkin lebih cepat dengan peranti elektronik berbanding pembesar optik (bukti kepastian sederhana dan rendah).
• Peruntukan televisyen litar tertutup (CCTV) pada konsultasi pemulihan awal mungkin meningkatkan kelajuan membaca berbanding preskripsi bantuan penglihatan rendah standard sahaja (bukti kepastian rendah).
• Kelajuan membaca dengan peranti elektronik yang dipasang di kepala menunjukkan perbezaan yang tidak konsisten berbanding dengan peranti optik (bukti kepastian sederhana atau rendah).
• Kelajuan membaca dengan komputer tablet berbanding CCTV berdiri adalah serupa (bukti kepastian rendah).
• Penambahan peranti mudah alih elektronik kepada peranti optik pilihan tidak dilihat meningkatkan kelajuan membaca (bukti kepastian rendah).
• Penapis berwarna tidaklah lebih baik dan mungkin lebih teruk daripada penapis yang jelas untuk kelajuan membaca (bukti kepastian rendah).
• Cermin mata tempahan khas atau prisma standard tidak dilihat memberi faedah tambahan berbanding dengan cermin mata membaca konvensional bagi orang dengan degenerasi makular yang berkaitan dengan usia (bukti kepastian rendah).
Adakah ulasan ini terkini?
Penulis Ulasan Cochrane mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga 17 Januari 2018.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melak-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.