Topeng saluran udara laringeal berbanding ventilasi topeng beg atau intubasi endotrakeal untuk resusitasi neonatal

Soalan ulasan

Di antara semua bayi baru lahir yang memerlukan pengudaraan tekanan positif untuk resusitasi kardiopulmonari, adakah ventilasi tekanan positif berkesan dan resusitasi yang berjaya dicapai lebih cepat dengan topeng saluran udara laringeal (LMA) berbanding beg topeng ventilasi (BMV)?

Apabila BMV tidak mencukupi atau tidak berkesan, adakah ventilasi tekanan positif berkesan dan resusitasi berjaya dengan LMA berbanding dengan intubasi endotrakeal?

Latar belakang

Kebanyakan bayi baru lahir bertenaga semasa lahir, tetapi sebilangan kecil perlu dibantu dengan pernafasan (ventilasi bantuan) di bilik persalinan. Bayi yang tidak mempunyai pernafasan berkesan tidak lama selepas lahir boleh menjadi sangat lemah. Memberi ventilasi yang cepat dalam bilik persalinan adalah sangat penting. Ventilasi sering dimulakan dengan menggunakan beg oksigen yang dipam secara manual untuk memaksa udara ke dalam topeng muka yang berlitup rapat yang dipegang di atas hidung dan mulut bayi. Jika pernafasan masih lemah selepas menggunakan beg resusitasi manual, tiub diletakkan terus ke saluran udara besar bayi (intubasi endotrakeal). Ventilasi beg dan topeng dan intubasi endotrakeal tidak boleh dilakukan apabila bayi ada halangan saluran pernafasan atau kepala dan muka yang abnormal yang menghalang aliran udara yang normal ke dalam paru-paru mereka dan/atau menghalang pandangan saluran udara oleh kakitangan perubatan yang membuat intubasi. LMA adalah alternatif untuk ventilasi beg dan topeng dan intubasi endotrakeal. LMA adalah topeng kecil yang dipasang pada tiub silikon yang dimasukkan ke dalam tekak untuk memberikan ventilasi tekanan positif ke dalam saluran udara.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan tujuh kajian yang merekrut sejumlah 794 bayi. Carian terkini kami (Februari 2017) membawa kepada kemasukan enam kajian baru (754 bayi). Lima kajian membandingkan LMA dengan BMV dan tiga kajian membandingkan LMA dengan intubasi endotrakeal untuk memberikan ventilasi tekanan positif yang berkesan untuk bayi baru lahir yang memerlukan resusitasi jantung/paru-paru.

Keputusan utama

LMA boleh mencapai ventilasi yang berkesan semasa resusitasi neonatal dalam jangka masa yang konsisten dengan garis panduan semasa dan boleh menjadi lebih berkesan daripada BMV dalam tetapan resusitasi.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah dari kualiti yang sangat rendah hingga sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information