Pesakit boleh mengawal kesakitan selepas pembedahan dengan pemberian analgesia sendiri (ubat penahan sakit) menggunakan alat yang direka untuk tujuan ini (analgesia kawalan pesakit atau PCA). PCA melibatkan pemberian sendiri (dengan menekan butang) dos opioid yang kecil (seperti morfin) secara intravena melalui pam yang diprogramkan. Kajian terdahulu telah menunjukkan pesakit sering lebih suka PCA daripada kaedah tradisional dalam pengurusan kesakitan, seperti jururawat yang memberikan analgesia atas permintaan pesakit. Ulasan ini menunjukkan bukti berkualiti sederhana ke rendah bahawa PCA memberikan kawalan kesakitan yang sedikit lebih baik dan meningkatkan kepuasan pesakit apabila dibandingkan dengan kaedah bukan kawalan pesakit. Pesakit cenderung untuk menggunakan dos ubat yang sedikit lebih tinggi dengan PCA dan mengalami kejadian kegatalan yang lebih tinggi, namun kesan-kesan sampingan adalah serupa di antara kumpulan.
Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rsiucd.edu.my..