Topiramate untuk episod afektif akut dalam gangguan bipolar

Siapa yang mungkin berminat dengan ulasan ini?

Orang dengan gangguan bipolar dan penyedia penjagaan kesihatan mereka.

Mengapa ulasan ini penting?

Gangguan bipolar adalah gangguan mood yang merupakan masalah kesihatan mental yang biasa. Pesakit mungkin mengalami simptom berulang dengan mood yang menaik atau meragam, kemurungan, atau gabungan kedua-duanya. Rawatan biasanya dengan ubat psikiatri; ubat yang biasa digunakan termasuk penstabil mood, antidepresan, dan antipsikotik. Topiramate adalah ubat yang digunakan dalam epilepsi, namun ia mungkin mempunyai peranan dalam rawatan gangguan bipolar.

Apakah soalan yang ingin dijawab oleh ulasan ini?

Ulasan ini menyiasat keberkesanan dan penerimaan topiramate berbanding plasebo dan agen lain dalam rawatan episod afektif akut dalam gangguan bipolar.

Kajian mana yang disertakan dalam ulasan ini?

Pengulas mencari pangkalan data perubatan untuk mencari laporan kajian klinikal (kajian terkawal rawak khususnya) yang diterbitkan sehingga 13 Oktober 2015. Pengulas mengenal pasti enam kajian yang melibatkan 1638 orang. Kajian membandingkan topiramate dengan plasebo atau ubat konvensional seperti litium, kedua-duanya secara sendirian atau digabungkan dengan rawatan lain seperti sodium valproate atau antipsikotik atipikal.

Lima daripada kajian adalah berisiko rendah untuk berat sebelah dalam kebanyakan domain, dan berisiko tidak jelas untuk penyembunyian peruntukan (kerana butiran tidak mencukupi mengenai mereka yang menerima peserta kajian dilindungi daripada mengetahui tugasan) dan sumber berpotensi lain untuk berat sebelah (kerana mereka dibiayai oleh industri). Kajian McIntyre 2000 berisiko tinggi untuk bias prestasi (kerana peserta dan kakitangan tahu siapa yang mengambil setiap ubat); berisiko rendah untuk bias keciciran dan berat sebelah pelaporan; dan berisiko yang tidak jelas untuk bias dalam domain lain.

Apakah bukti daripada ulasan ini memberitahu pengulas?

Pengulas menemui bukti berkualiti sederhana yang menunjukkan bahawa topiramate tidak lebih atau kurang berkesan daripada plasebo apabila digunakan secara bersendirian, dan bukti berkualiti rendah bahawa topiramate tidak lebih atau kurang berkesan daripada plasebo apabila ditambah kepada ubat lain dalam rawatan episod manik dan campuran. Pengulas menemui bukti berkualiti tinggi bahawa litium lebih berkesan daripada topiramate apabila digunakan secara bersendirian dalam rawatan episod manik dan campuran. Bukti kualiti rendah dan sangat rendah menunjukkan tiada perbezaan dalam profil kesan sampingan apabila topiramate dibandingkan dengan plasebo atau ubat alternatif apabila digunakan secara bersendirian atau digabungkan dengan rawatan lain.

Batasan ulasan adalah bahawa kualiti bukti secara amnya rendah, oleh itu terdapat keperluan untuk penyelidikan lanjut. Penyelidikan masa depan boleh melibatkan kajian yang lebih terkawal dengan kaedah terperinci yang jelas membandingkan topiramate dengan plasebo dan rawatan bipolar alternatif atau gabungan untuk episod manik, campuran dan kemurungan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information