Terapi kelakuan dan kelakuan-kognitif untuk mengurangkan kelakuan agresif dalam kalangan pesakit dengan ketidakupayaan intelektual

Mesej utama

– Pendekatan seperti pengurusan kemarahan (berdasarkan terapi tingkah laku kognitif) dan sokongan tingkah laku positif (PBS; berdasarkan terapi tingkah laku) boleh mengurangkan tingkah laku agresif secara lahiriah dalam kalangan orang kurang upaya intelek (kurang upaya pembelajaran).

– Bukti untuk hasil dan terapi lain adalah kurang pasti kerana hanya terdepat beberapa kajian berskala kecil.

– Lebih banyak bukti diperlukan mengenai apa jenis terapi dan pendekatan yang boleh membantu dalam mengurangkan sifat agresif dan meningkatkan hasil lain seperti kualiti hidup.

Apakah tingkah laku agresif secara luaran dan mengapa ia penting?

Tingkah laku agresif secara luaran mungkin termasuk tingkah laku agresif yang fizikal terhadap orang lain seperti memukul, menendang atau membaling objek dan merosakkan harta benda. Tingkah laku ini mungkin satu bentuk komunikasi yang keperluan seseorang itu tidak dipenuhi. Ia boleh membawa kepada kesan-kesan negatif seperti dikecualikan daripada perkhidmatan harian, kerosakan dalam penempatan kediaman yang disokong dan kemasukan wad yang tidak sesuai ke hospital psikiatri. Terdapat peranan yang terhad dalam penggunaan ubat antipsikotik dalam pengurusan tingkah laku yang mencabar. Walau bagaimanapun, ini hanya terpakai dalam keadaan di mana risikonya sangat teruk dan ubat antipsikotik hanya boleh ditawarkan dalam kombinasi dengan intervensi psikologi ataupun yang lain. Terapi yang mungkin membantu termasuk pendekatan tingkah laku kognitif seperti pengurusan kemarahan yang membantu orang itu membuat hubungan antara akal pemikiran, perasaan dan tingkah laku mereka; dan pendekatan tingkah laku seperti sokongan tingkah laku positif, yang bertujuan untuk mengurangkan kekerapan tingkah laku dengan mengubah pencetus dan tindak balas terhadap tingkah laku. Memberi intervensi yang berkesan dalam komuniti akan mengurangkan trauma yang dihadapi individu serta meningkatkan kualiti hidup mereka dengan banyak. Tiada bukti kukuh menyatakan pendekatan mana yang paling membantu dalam mengurangkan kelakuan agresif.

Apa yang kami ingin ketahui?

Ini adalah kemas kini Ulasan Cochrane. Matlamatnya adalah untuk mengetahui sama ada pendekatan seperti terapi tingkah laku dan kognitif-tingkah laku membantu dalam mengurangkan tingkah laku agresif dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa yang kurang upaya intelek.

Apa yang telah kami lakukan?

Untuk mengenal pasti kajian yang berkaitan, kami mencari pangkalan data perubatan dan pendaftaran ujian klinikal sehingga Mac 2022 dan rujukan kertas yang diambil. Dua pengarang ulasan secara bebas menapis tajuk kertas untuk kelayakan, mengekstrak data dan menilai had kajian. Apabila perlu, kami menghubungi pengarang percubaan untuk meminta maklumat tambahan.

Apakah yang kami temui?

Kami melibatkan 15 kajian menggunakan pelbagai terapi yang berbeza dengan sejumlah 921 peserta dalam semakan; sembilan kajian adalah baharu untuk kemas kini ini. Kebanyakan kajian mengambil tempat dalam persekitaran komuniti dan satu dijalankan dalam persekitaran hospital bertahap keselamatan tinggi. Tiga belas kajian yang disertakan adalah kecil dan bilangan peserta adalah antara 12 dan 63 dan terdapat dua kajian besar dengan bilangan 179 dan 245 peserta.

Bukti yang kami temui menunjukkan bahawa:

– berbanding dengan senarai menunggu atau tiada rawatan, pengurusan kemarahan berdasarkan terapi tingkah laku kognitif berkemungkinan mengurangkan tingkah laku agresif dan mungkin meningkatkan keupayaan mengawal kemarahan, keupayaan untuk menjalankan aktiviti kehidupan harian dan gejala psikiatri. Walau bagaimanapun, tiada bukti yang mencukupi pada masa ini tentang sama ada ia meningkatkan kualiti hidup atau mengurangkan penggunaan perkhidmatan dan kos.

– berbanding dengan rawatan seperti biasa, PBS berkemungkinan mengurangkan tingkah laku agresif, tetapi terdapat kekurangan bukti bahawa ia meningkatkan gejala kesihatan mental atau mengurangkan penggunaan perkhidmatan.

– berbanding dengan senarai menunggu, kesedaran minda mungkin mengurangkan insiden itngkah laku agresif.

– berbanding PBS sahaja, PBS berasaskan kesedaran mungkin mengurangkan insiden tingkah laku agresif.

Apakah batasan bukti?

Kami agak pasti dalam tahap sederhana tentang kesan pengurusan kemarahan dan PBS dalam pengurangan tingkah laku agresif, tetapi adalah kurang pasti untuk hasil kajian yang lain. Kebanyakan kajian adalah sangat kecil, dengan hanya dua kajian besar dan belum ada bukti yang mencukupi untuk mengatakan dengan yakin pendekatan mana yang lebih baik mengurangkan tingkah laku agresif.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan adalah terkini sehingga Mac 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khoo Jing Hern (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information