Ubat untuk mengurangkan asid perut bagi penghidap fibrosis sista

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti penggunaan ubat untuk mengurangkan asid perut pada orang dengan fibrosis sista.

Latar belakang

Fibrosis sista menyebabkan kerosakan pada paru-paru dan pankreas. Pankreas menghasilkan enzim yang diperlukan untuk tubuh mencerna dan menyerap makanan. Sekiranya pankreas rosak ini boleh mempengaruhi penyerapan makanan seseorang. Pankreas juga dapat meningkatkan keasidan di perut, yang boleh menyebabkan pedih ulu hati dan ulser peptik. Terdapat ubat yang dapat mengurangkan jumlah asid di dalam perut. Ujian ubat-ubatan menunjukkan bahawa ubat ini dapat memulih masalah perut dan sistem pencernaan dan penyerapan lemak. Ulasan Ini adalah versi ulasan yang telah dikemas kini.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 26 April 2021.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini merangkumi 17 kajian dengen sejumlah 273 kanak-kanak dan dewasa. Tujuh daripada kajian hanya terhad kepada kanak-kanak dan empat kajian hanya melibatkan orang dewasa, sementara selebihnya orang daripada setiap lapisan umur. Semua kajian dijalankan di satu pusat dan berlangsung selama lima hari hingga enam bulan.

Kebanyakan kajian membandingkan intervensi dengan plasebo (rawatan palsu tanpa ubat aktif). Enam kajian membandingkan perencat pam proton (ubat yang mengurangkan jumlah asid yang dihasilkan di dalam perut, misalnya omeprazole dan esomeprazole) dengan plasebo dan tujuh kajian membandingkan antagonis reseptor H2 (kumpulan ubat kedua yang mengurangkan jumlah asid yangdihasilkan di dalam perut), misalnya ranitidine dan simetidin) terhadap plasebo. Salah satu kajian mempunyai tiga lengan dan membandingkan perencat pam proton dengan agonis reseptor H2 dan plasebo. Dalam baki lima kajian, satu membandingkan pankrelipase (gabungan tiga enzim (lipase, protease, dan amilase) yang biasanya dihasilkan oleh pankreas) dengan gabungan pankrelipase dan misoprostol (ubat yang melindungi lapisan usus dari asid perut) ; satu membandingkan misoprostol dengan plasebo dan satu kajian membandingkan enprostil (ubat serupa dengan misoprostol) dengan ranitidine. Dua kajian menggunakan natrium bikarbonat - satu dibandingkan dengan plasebo dan yang kedua dibandingkan dengan kalsium karbonat.

Hasil utama

Kami tidak dapat menggabungkan hasil dari kajian ini kerana reka bentuknya. Kajian individu melaporkan peningkatan sakit perut dan penyerapan lemak. Namun, kajian tersebut tidak melaporkan peningkatan untuk dapatan lain seperti fungsi paru-paru, kualiti hidup, atau kelangsungan hidup. Perbezaan ubat yang dikaji menyebabkan beberapa kejadian buruk; terutamanya cirit-birit (dua orang menarik diri dari satu kajian kerana ini) dan kembung kerana angin. Oleh disebabkan kami tidak dapat menggabungkan hasil dari kajian ini, kami tidak dapat membuat kesimpulan yang tegas tentang sama ada orang dengan fibrosis sista akan mendapat manfaat daripada mengambil ubat ini. Ujian jangka panjang yang baharu diperlukan untuk mengkaji faedah dan kemungkinan kesan buruk bagi penghidap fibrosis sista yang mengambil ubat untuk mengurangkan asid perut.

Kualiti bukti

Terdapat 14 kajian yang mempunyai reka bentuk pindah silang (di mana orang yang mengambil bahagian diberikan rawatan pertama dan kemudian rawatan lain) dan kami tidak mempunyai maklumat yang sesuai untuk menganalisis dapatannya dengan betul. Sebilangan kecil kajian terlibat melaporkan dengan jelas tentang aspek kualiti kajian atau memberikan maklumat yang cukup untuk membolehkan kita menilai faktor-faktor yang boleh menyebabkan risiko bias terhadap dapatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal (PPM). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia) Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information