Ubat yang bertujuan mengurangkan kehilangan air dari sel darah merah dalam kalangan orang dengan penyakit sel sabit

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti untuk menilai risiko relatif dan manfaat ubat-ubatan untuk rehidrasi sel darah merah sabit.

Latar belakang

Penyakit sel sabit adalah keadaan warisan yang menyebabkan sel darah merah menjadi bentuk sabit ketika ia kehilangan air. Ini membawa kepada risiko tinggi saluran darah menjadi tersekat. Sekatan sedemikian boleh menyebabkan sakit, strok dan kerosakan kepada organ. Terapi terkini bertujuan untuk menghentikan sel-sel menjadi bentuk sabit dengan menghalang kehilangan air.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 08 Oktober 2018.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini merangkumi tiga kajian dengan 524 orang dengan penyakit sel sabit berumur antara 12 dan 65 tahun. Intervensi dalam satu kajian adalah zink sulfat dan di dalam dua kajian adalah senicapoc. Setiap kajian dibandingkan dengan kumpulan plasebo (bahan yang tidak mengandungi ubat). Bagi setiap kajian, orang dipilih untuk satu rawatan atau yang lain secara rawak. Kajian berlangsung dari tiga bulan hingga 18 bulan.

Keputusan utama

Kajian dengan zink sulfat menunjukkan ubat ini mungkin dapat mengurangkan jumlah krisis sel sabit tanpa menyebabkan kesan toksik (bukti berkualiti rendah). Terdapat 145 peserta dalam kajian ini dan kepugusan menunjukkan penurunan yang ketara dalam bilangan krisis berkaitan sel sabit yang serius dalam tempoh satu setengah tahun, iaitu perbezaan min -2.83 (selang keyakinan 95% -3.51 hingga -2.15) (bukti berkualiti sederhana ). Walau bagaimanapun, analisis kami adalah terhad kerana tidak semua data dilaporkan. Perubahan kepada ukuran sel darah merah dan kiraan darah adalah tidak konsisten (kualiti bukti sangat rendah). Tiada kesan buruk yang serius dilaporkan dalam kajian. Kedua-dua kajian dengan senicapoc menunjukkan bahawa ubat ini meningkatkan survival darah merah dan berperanan dalam mencegah dehidrasi sel darah merah dalam kalangan orang dengan penyakit sel sabit (kualiti bukti sangat rendah). Dos ubat yang lebih tinggi lebih berkesan berbanding dos yang lebih rendah. Tetapi perubahan-perubahan dalam sel darah merah tidak diterjemah ke dalam hasil klinikal yang positif dari segi pengurangan bilangan krisis sel sabit (bukti berkualiti rendah). Senicapoc mempunyai profil keselamatan yang menggalakkan. Lebih banyak penyelidikan jangka panjang diperlukan untuk ubat-ubatan ini dan yang lain-lain yang mungkin menghalang kehilangan air dalam sel-sel darah merah.

Memandangkan ini bukan lagi bidang penyelidikan yang aktif, ulasan ini tidak lagi akan dikemas kini secara regular.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah bercampur-campur dengan hasil-hasil.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information