Soalan ulasan
Kami mengulas bukti tentang kesan rejimen antibiotik profilaksis untuk mencegah jangkitan pneumokokus dalam kalangan kanak-kanak dengan penyakit sel sabit (SCD). Ini adalah versi kemas kini ulasan Cochrane yang telah diterbitkan terdahulu.
Latar belakang
Orang dengan SCD mudah mendapat jangkitan respiratori dan darah. Jangkitan sering disebabkan oleh kuman (bakteria) yang dikenali sebagai Streptococcus pneumoniae, atau dikenali sebagai pneumokokus, yang boleh menyebabkan banyak jenis penyakit serius. Individu dengan SCD mudah mendapat jangkitan berbanding orang yang tidak dipengaruhi kerana limpa mereka (organ yang menapis darah dan penting untuk fungsi sistem imun yang betul) tidak berfungsi dengan betul, dan juga kerana tisu dan tulang yang rosak akibat SCD boleh melindungi bakteria. Oleh itu, pencegahan jangkitan adalah salah satu cara utama untuk memperbaiki kesihatan orang dengan SCD dan mengurangkan risiko kematian. Risiko jangkitan tertinggi berlaku dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur tiga tahun, tetapi penggunaan vaksin khas yang membantu mencegah penyakit dengan S pneumoniae adalah terhad dalam populasi muda ini. Oleh itu, tambahan antibiotik regular kepada vaksin khas ini diperlukan untuk mencegah jangkitan. Oleh kerana risiko jangkitan berkurangan dengan usia, mungkin ada ketika rawatan antibiotik pencegahan dapat dihentikan. Ulasan ini bertujuan untuk menentukan kesan profilaksis antibiotik terhadap pneumokokus dalam kalangan kanak-kanak dengan SCD.
Tarikh carian
Bukti adalah terkini sehingga 25 Januari 2021.
Ciri-ciri kajian
Kami mengumpul bukti untuk Ulasan Cochrane ini dengan menilai tiga kajian klinikal dengan lebih 800 kanak-kanak disertakan.
Keputusan utama dan kualiti bukti
Ketiga-tiga kajian klinikal menunjukkan pengurangan kadar jangkitan pneumokokus dalam kalangan kanak-kanak dengan SCD yang menerima penisilin untuk pencegahan. Dua daripada kajian tersebut melihat sama ada rawatan adalah berkesan. Kajian ketiga adalah lanjutan dari salah satu kajian terawal dan melihat bila masa yang selamat untuk menghentikan rawatan. Kesan buruk ubat adalah jarang dan kecil. Walau bagaimanapun, terdapat masalah dengan kanak-kanak untuk mengikut jadual rawatan dan dengan perkembangan rintangan antibiotik. Kualiti bukti bagi hasil primer dan sekunder (keputusan akhir) dinilai sebagai rendah.
Kami menyimpulkan penisilin yang diberi untuk pencegahan mengurangkan kadar jangkitan pneumokokus dalam kalangan kanak-kanak dengan SCD di bawah usia lima tahun. Risiko jangkitan dalam kalangan kanak-kanak yang lebih berumur adalah lebih rendah, dan kajian susulan tidak menunjukkan peningkatan risiko yang ketara apabila penisilin regular dihentikan pada usia lima tahun. Penyelidikan lanjut diperlukan untuk melihat bagaimana kelaziman bakteria berkembang yang rintang terhadap rawatan dan bagaimana ini penting secara klinikal.
Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.