Soalan ulasan
Adakah rawatan famakologi, rangsangan otak tidak invasif (elektrod diletakkan pada kulit kepala dan arus elektrik yang dikawal halus digunakan untuk mengubah aktiviti otak), rawatan psikologi, atau rawatan gabungan mengurangkan jumlah pesakit dengan kemurungan atau tahap gejala kemurungan selepas strok?
Latar belakang
Kemurungan adalah gejala yang biasa selepas strok dan sering tidak dikesan atau tidak dirawat dengan secukupnya.
Tarikh carian
Kami telah mengenal pasti kajian dengan carian yang dijalankan pada 8 Februari 2022. Ini adalah ulasan sistematik yang berterusan. Kami mencari bukti baharu setiap dua bulan dan mengemas kini ulasan apabila kami mengenal pasti bukti baru yang berkaitan. Sila rujuk kepada Pangkalan Data Ulasan Sistematik Cochrane untuk status terkini ulasan ini.
Ciri-ciri kajian
Kami sertakan kajian yang melaporkan penggunaan farmakologi, rangsangan otak tidak invasif, psikologi, dan intervensi gabungan untuk merawat kemurungan selepas strok. Kami menyifatkan hasil utama sebagai bilangan orang yang memenuhi kriteria untuk kemurungan (skor melebihi ambang pemarkahan yang telah ditetapkan) dan tindak balas yang tidak mencukupi (skor di bawah 50% daripada ambang pemarkahan yang telah ditetapkan). Purata usia peserta adalah antara 54 hingga 78 tahun. Kajian adalah dari Asia (39), Eropah (12), Amerika (6), Amerika Selatan (1) dan Australia (3).
Keputusan utama
Kami sertakan 65 kajian (72 perbandingan) yang melibatkan 5831 peserta. Rawatan farmakologi menyebabkan lebih sedikit orang yang memenuhi kriteria kajian untuk kemurungan pada akhir rawatan dan dengan tindak balas yang tidak mencukupi terhadap rawatan. Rangsangan otak bukan invasif tidak mengurangkan bilangan orang yang memenuhi kriteria kajian untuk kemurungan pada akhir rawatan dan dengan tindak balas yang tidak mencukupi untuk rawatan. Terapi psikologi mengurangkan bilangan orang yang memenuhi kriteria kajian untuk kemurungan pada akhir rawatan. Gabungan rawatan farmakologi dan rangsangan otak bukan invasif menyebabkan lebih sedikit orang yang memenuhi kriteria kajian untuk kemurungan tetapi tidak menjejaskan mereka yang mempunyai tindak balas yang tidak mencukupi terhadap rawatan. Lebih ramai orang dalam kumpulan rawatan farmakologi melaporkan sistem saraf pusat (cth kekeliruan, sedasi, gegaran; dalam lima ujian) dan kesan sampingan gastrousus (contohnya sembelit, cirit-birit; dalam empat kajian) berbanding kumpulan plasebo. Maklumat tentang kesan sampingan rawatan lain tidak disediakan.
Kepastian bukti
Anggaran kesan rawatan adalah tidak tepat disebabkan oleh bilangan yang kecil dalam kebanyakan kajian dan pengambilan orang dengan ciri asas yang sangat berbeza. Kami menilai kepastian bukti yang rendah hingga sangat rendah kerana ini dan keterbatasan lain dalam reka bentuk kajian.
Kesimpulan
Ubat antidepresan boleh memberi manfaat kepada orang yang mempunyai gejala yang berterusan selepas strok, tetapi penjagaan diperlukan dalam penggunaananya, kerana sedikit yang diketahui tentang kesannya terhadap pemulihan keseluruhan strok. Rangsangan otak bukan invasif mungkin tidak memberi manfaat manakala terapi psikologi dan gabungan mungkin menawarkan pilihan rawatan. Penyelidikan masa depan harus melibatkan variasi responden yang lebih luas dengan strok.
Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rscsiucd.edu.my