Klot darah beku dalam arteri yang menuju ke jantung boleh menyebabkan sindrom koronari akut: angina tidak stabil (rasa sesak dada) atau sejenis serangan jantung (infarksi miokardium segmen bukan ST - NSTEMI). Ubat yang mencegah klot darah beku terjadi (seperti aspirin) atau ubat cair darah (seperti heparin) mampu melegakan masalah ini. Heparin tanpa fraksi (UFH) dan heparin berat molekul rendah (LMWH) adalah dua jenis heparin. Ulasan kajian-kajian mendapati UFH dan LMWH apabila diberi kepada pesakit dengan angina tidak stabil atau NSTEMI berisiko tinggi dalam fasa rawatan yang akut, di samping terapi standard dengan aspirin, mencegah lebih banyak serangan jantung berbanding plasebo tetapi tidak mengurangkan mortaliti, keperluan untuk prosedur ‘revascularization’ atau angina berulang. Walaupun terdapat laporan terhad tentang kesan sampingan, heparin menyebabkan lebih banyak kes perdarahan minor.
Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my