Bisphosphonate dan denosumab untuk kanser payudara

Apakah isunya?

Kanser payudara boleh merebak dan berulang di tulang. Ini boleh menyebabkan fraktur, sakit dan kalsium tinggi dalam aliran darah (dikenali sebagai komplikasi).

Ubat untuk osteoporosis boleh mencegah komplikasi ini dan membantu menyembuhkan kanser dengan mengurangkan pertumbuhan kanser dalam tulang. Ubat-ubatan ini dipanggil ‘bisphosphonate’. Jenis yang lebih baharu dipanggil 'denosumab'. Bisphosphonat atau denosumab diberi sebagai tambahan kepada ubat rawatan kanser lain. Ia boleh diberi bersama kemoterapi, terapi endokrin, atau radioterapi.

Soalan-soalan kajian

Matlamat bisphosphonat dan denosumab berbeza berdasarkan status kanser payudara wanita.

Kami bertanya tiga soalan utama:

1. Bagi wanita dengan kanser payudara awal (EBC), bolehkah bisphosphonate atau denosumab mengurangkan risiko perebakan kanser ke tulang? Adakah penambahan ubat ini kepada rawatan antikanser membolehkan wanita hidup lebih lama (memperbaiki survival)?

2. Bagi wanita dengan kanser payudara lanjutan yang tidak melibatkan tulang (ABC), bolehkah bisphosphonate mengurangkan risiko perebakan kanser ke tulang dan memperbaiki survival? Bolehkah bisphosphonate mengurangkan komplikasi dan memperbaiki kualiti hidup?

3. Bagi wanita dengan kanser payudara metastatik yang telah merebak ke tulang (BCBM), bolehkah bisphosphonate atau denosumab mengurangkan risiko komplikasi, dan memperbaiki kualiti hidup dan survival?

Keputusan kajian

Kami mendapati 44 kajian yang melibatkan 37,302 peserta. Kami memasukkan kajian yang diterbitkan sehingga September 2016

Keputusan kajian untuk wanita dengan kanser payudara awal (EBC)

Untuk wanita dengan EBC, kami memasukkan 17 kajian dengan 26,129 peserta. Kesihatan wanita tersebut dipantau selama sekurang-kurangnya 12 bulan dari permulaan kajian. Sesetengah kajian memantau wanita selama 10 tahun.

Kajian-kajian ini menguji pelbagai jenis ubat bisphosphonate dan denosumab, dan pelbagai dos ubat-ubatan ini. Sesetengah kajian membandingkan ubat-ubatan dengan tanpa rawatan. Sesetengah kajian menggunakan ubat oral. Kajian-kajian lain memberi ubat sebagai suntikan ke dalam vena atau di bawah kulit.

Bisphosphonate mungkin menurunkan risiko perebakan kanser ke tulang.

Bisphosphonate didapati memperbaiki survival, tetapi manfaat seluruh kumpulan wanita adalah kecil. Wanita pasca menopaus mendapat manfaat bisphosphonate dengan peningkatan survival dan kurang risiko kanser berulang. Wanita pramenopaus tiada peningkatan survival atau pengurangan risiko kanser berulang. Kajian-kajian baharu yang menguji bisphosphonate dengan status menopaus wanita sedang ditunggu-tunggu.

Kami menunggu laporan data tentang survival dan hasil penting lain dari kajian-kajian denosumab.

Keputusan kajian untuk wanita dengan kanser payudara lanjutan (ABC)

Bagi wanita dengan ABC yang tidak merebak ke tulang, kami memasukkan tiga kajian yang mendaftarkan 330 peserta. Ketiga-tiga kajian ini membandingkan bisphosphonate oral dengan tanpa rawatan.

Bisphosphonate tidak mengurangkan risiko perebakan kanser ke tulang atau memperbaiki survival. Maklumat sangat sedikit tentang komplikasi dan kualiti hidup didapati dari hanya satu kajian.

Keputusan kajian untuk wanita dengan kanser payudara metastatik yang telah merebak ke tulang (BCBM)

Bagi wanita dengan BCBM, kami memasukkan 24 kajian yang melibatkan 10,853 peserta. Kesihatan mereka dipantau selama sekurang-kurangnya 12 bulan. Sesetengah wanita disusuli selama 24 bulan. Kebanyakan kajian membandingkan bisphosphonate dengan tidak menerima ubat.

Bisphosphonate mengurangkan komplikasi (fraktur dan sakit tulang). Bisphosphonate tidaklah dapat menambahkan tempoh masa survival wanita. Skor kualiti hidup adalah lebih baik sedikit bagi wanita yang menerima bisphosphonate berbanding wanita yang sama tetapi tidak menerima bisphosphonate.

Denosumab mengurangkan risiko komplikasi berbanding bisphosphonate di dalam tiga kajian yang mengumpul data-data tersebut. Tiada manfaat dalam survival oleh denosumab dalam satu kajian yang mengumpul data.

Kesan sampingan untuk wanita dengan semua jenis kanser payudara

Kesan sampingan jarang berlaku dan adalah ringan. Terdapat risiko kerosakan yang jarang berlaku kepada tulang rahang ("osteonekrosis rahang").

Kualiti bukti

Secara keseluruhan, kebanyakan bukti adalah berkualiti sederhana hingga tinggi. Ini bermakna kami agak yakin dengan penemuan-penemuan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my

Tools
Information