Latar belakang
Orang dengan demensia beransur-ansur menghadapi masalah dengan memori, pemikiran, bahasa dan aktiviti harian. Demensia sering dikaitkan dengan masalah emosi dan tingkah laku dan boleh mengurangkan kualiti hidup seseorang. Di tahap akhir demensia, mungkin sukar bagi orang untuk berkomunikasi dengan kata-kata, namun apabila mereka tidak lagi boleh bercakap, mereka mungkin masih boleh bersenandung atau bermain dengan muzik. Oleh itu, terapi yang melibatkan muzik mungkin sangat sesuai untuk orang dengan demensia. Ahli terapi muzik adalah terlatih khas untuk bekerja dengan individu atau kumpulan orang, menggunakan muzik untuk cuba membantu memenuhi keperluan fizikal, psikologi dan sosial mereka. Ahli profesional lain juga boleh dilatih untuk menyediakan rawatan yang sama.
Tujuan ulasan
Kami ingin melihat jika kami boleh mencari bukti rawatan berasaskan muzik dapat memperbaiki kesejahteraan emosi dan kualiti hidup orang dengan demensia. Kami juga berminat terhadap bukti tentang kesan ke atas masalah emosi, tingkah laku, sosial atau kognitif (contohnya berfikir dan mengingat) dalam kalangan orang dengan demensia.
Apa yang kami lakukan
Kami mencari kajian klinikal yang mengukur kesan-kesan ini dan di mana orang dengan demensia secara rawak diperuntukkan kepada rawatan berasaskan muzik atau kepada kumpulan perbandingan. Kumpulan perbandingan mungkin tidak mendapat rawatan khas, atau mungkin telah ditawarkan aktiviti yang berbeza. Kami memerlukan sekurang-kurangnya lima sesi rawatan kerana kami menganggap kurang daripada lima sesi tidak mungkin mempunyai kesan yang ketara. Kami menggabungkan keputusan kajian untuk menganggarkan kesan rawatan setepat mungkin. Bukti adalah terkini sehingga 19 Jun 2017.
Apa yang kami dapati
Kami menemui 22 kajian untuk dimasukkan ke dalam ulasan ini dan kami dapat menggabungkan keputusan untuk sekurang-kurangnya beberapa hasil daripada 890 orang. Semua orang dalam kajian-kajian tersebut tinggal di rumah penjagaan atau hospital. Beberapa kajian membandingkan rawatan berasaskan muzik dengan penjagaan biasa, dan beberapa lagi membandingkannya dengan aktiviti lain, seperti memasak atau melukis. Kualiti kajian dan bagaimana ia dilaporkan adalah berbeza-beza, dan ini mempengaruhi keyakinan kami dalam keputusan-keputusannya. Pertama, kami melihat hasil sebaik sahaja terapi berakhir. Berdasarkan keputusan kami, kami sederhana yakin bahawa rawatan berasaskan muzik memperbaiki gejala kemurungan dan masalah tingkah laku keseluruhan, tetapi tidak khusus kepada tingkah laku gelisah atau agresif. Ia juga boleh memperbaiki keresahan dan kesejahteraan emosi termasuk kualiti hidup, walaupun kami kurang yakin dengan keputusan ini. Mereka mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan kepada kognisi. Kami sangat kurang yakin dengan keputusan kami dalam interaksi sosial. Beberapa kajian juga melihat sama ada terdapat sebarang kesan yang kekal selepas empat minggu atau lebih apabila rawatan berakhir. Walau bagaimanapun, terdapat data yang kurang dan kami tidak pasti atau sangat pasti mengenai keputusan. Kajian lanjutan mungkin mempunyai impak yang ketara kepada apa yang kami tahu tentang kesan-kesan rawatan berasaskan muzik untuk orang dengan demensia, oleh itu penyelidikan berterusan adalah penting.
Diterjemahkan oleh Ng Chia Shyn (International Medical University). Dikemaskini oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Andey Rahman (Universiti Sains Malaysia) Dikemaskini oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.