Ibuprofen untuk rawatan duktus arteriosus paten dalam bayi lahir pramasa atau berat lahir rendah (atau kedua-duanya)

Soalan ulasan

Adakah penggunaan ibuprofen berbanding indomethacin, perencat cyclo-oxygenase lain, plasebo, atau tiada intervensi untuk menutup duktus arteriosus paten (PDA) selamat dan berkesan untuk memperbaiki kadar penutupan duktus dan hasil klinikal penting lain dalam kalangan bayi lahir pramasa atau berat lahir rendah (atau kedua-duanya)?

Latar belakang

Satu komplikasi lazim untuk bayi lahir pramasa (pramatang) atau sangat kecil adalah PDA. PDA merupakan saluran vaskular terbuka di antara paru-paru dan jantung. Ia sepatutnya tutup selepas lahir, tetapi kadang kala masih terbuka kerana peringkat perkembangan bayi yang kurang matang. PDA boleh membawa kepada komplikasi yang mengancam nyawa. Rawatan biasa untuk PDA adalah indomethacin, ubat yang akan menutup PDA dalam kebanyakan bayi, tetapi boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius seperti mengurangkan aliran darah ke beberapa organ. Pilihan lain ialah ubat ibuprofen.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data saintifik untuk kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang secara rawak dimasukkan ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) bayi lahir pramasa (lahir kurang dari 37 minggu kehamilan), bayi berat lahir rendah (berat kurang dari 2500g), atau bayi lahir pramasa dan berat lahir rendah dengan PDA. Rawatan-rawatan termasuklah ibuprofen, indomethacin, perencat cyclo-oxygenase lain, plasebo atau tiada rawatan. Bukti adalah terkini sehingga 30 November 2017.

Keputusan utama

Ulasan 39 kajian ini (2843 bayi) mendapati ibuprofen adalah berkesan seperti indomethacin dalam menutup PDA, menyebabkan kurang kesan sampingan sementara ke atas buah pinggang, dan mengurangkan risiko enterokolitis nekrotis, keadaan serius yang mempengaruhi usus. Sama ada ibuprofen memberi sebarang kelebihan atau keburukan jangka panjang yang penting dalam pembentukan tidaklah diketahui. Kajian tambahan jangka panjang sehingga umur 18 bulan dan hingga ke usia masuk sekolah diperlukan untuk memutuskan sama ada ibuprofen atau indomethacin adalah ubat pilihan untuk menutup PDA.

Kualiti bukti: Menurut GRADE (kaedah untuk menilai kualiti kajian yang menyokong setiap hasil), kualiti bukti berbeza dari sangat rendah hingga sederhana tetapi sederhana untuk hasil penting bagi kegagalan untuk menutup PDA, memerlukan pembedahan untuk penutupan PDA, tempoh sokongan ventilasi, enterokolitis nekrosis, oliguria dan paras serum/plasma kreatinin apabila membandingkan ibuprofen intravena atau oral dengan indomethacin intravena atau oral.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information