Soalan ulasan
Adakah naloxone (ubat yang meneutralkan kesan-kesan negatif opioid ke atas pernafasan) membantu bayi-bayi baru lahir yang ibu mereka menerima opioid bagi mengurangkan sakit semasa bersalin?
Latar belakang
Bila seseorang wanita menerima ubatan opioid untuk meredakan sakit semasa bersalin (contoh, pethidine, morfin, dan ubat-ubat lain yang serupa), opioid tersebut boleh sampai kepada bayi di dalam rahim dan kemudian mengurangkan kadar pernafasan bayi tersebut. Naloxone, ubat yang meneutralkan kesan-kesan opioid, boleh diberikan kepada bayi baru lahir untuk cuba mencegah atau merawat masalah pernafasan. Ini mungkin mengurangkan risiko bayi dimasukkan neonatal unit bagi bantuan pernafasan, dan mengurangkan keperluan memisahkan ibu dan anak (membantu permulaan penyusuan badan). Bagaimanapun,terdapat kebimbangan, yang naloxone mungkin boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan, termasuk kemungkinan masalah tumbesaran jangka panjang.
Ciri-ciri kajian
Kami menjumpai sembilan kajian lengkap yang telah membandingkan antara pemberian naloxone atau plasebo diberikan kepada bayi-bayi baru lahir, yang ibu mereka diberikan opioid sebelum bersalin. Kajian-kajian ini telah dijalankan lebih dari 30 tahun yang lalu dan pada umumnya sangat kecil melibatkan hanya sejumlah kira-kira 300 orang bayi. Kebanyakan kajian tidak menggunakan kaedah yang boleh dipercayai secara konsisten. Bukti adalah terkini sehingga Febuari 2018.
Keputusan utama
Kajian-kajian melaporkan kesan-kesan naloxone ke atas pernafasan bayi tetapi tidak menilai kesan ke atas keperluan bayi untuk dirawat di unit neonatal (dipisahkan daripada ibu mereka), samada mereka memerlukan bantuan pernafasan, atau ke atas kejayaan penyusuan badan. Tiada kajian yang menilai tumbesaran jangka panjang. Kami tidak menemui kajian yang melibatkan bayi yang dilahirkan oleh ibu yang telah menggunakan opioid (samada dipreskripsikan atau tanpa preskripsi) semasa kehamilan.
Kualiti bukti
Bukti yangg ada tidak mencukupi untuk menentukan samada pemberian naloxone kepada bayi yang ibu mereka diberikan opioid semasa kelahiran membantu ataupun merbahaya.
Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my