Apakah isunya?
Bayi sering dipisahkan daripada ibu ketika lahir. Dalam penjagaan piawai hospital, bayi yang baru lahir boleh dibalut atau dibedung dalam pelukan ibu, diletak di katil bayi yang terbuka atau di bawah pemanas. Dalam sentuhan kulit ke kulit (SSC), bayi yang baru lahir diletakkan telanjang atas dada ibu yang terdedah, semasa lahir atau tidak lama selepas lahir. SSC segera bermakna dalam masa 10 minit kelahiran manakala SSC awal bermakna antara 10 minit dan 24 jam selepas kelahiran. Kami ingin mengetahui jika SSC segera atau awal dapat meningkatkan penyusuan bagi ibu dan bayi, dan meningkatkan juga peralihan ke dunia luar untuk bayi.
Mengapa ia penting?
Terdapat manfaat yang diketahui umum tentang penyusuan susu ibu bagi wanita dan bayi mereka. Kami ingin mengetahui jika SSC segera atau awal boleh meningkatkan peluang wanita untuk menyusukan anak dengan jayanya. Hubungan awal mungkin juga membantu memanaskan dan menenangkan bayi serta meningkatkan aspek lain dalam peralihan bayi untuk hidup di luar rahim.
Apakah bukti yang kami temui?
Kami mencari kajian rawak terkawal tentang SSC segera dan awal pada 17 Disember 2015. Kami mendapati tiga puluh lapan kajian dengan 3472 wanita sebagai data untuk dianalisis. Kebanyakan kajian membandingkan SSC awal dengan penjagaan piawai hospital untuk wanita dengan bayi cukup bulan yang sihat. Lapan kajian menunjukkan wanita yang melahirkan secara cesarean dan enam kajian pula bayi adalah sihat tetapi dilahirkan pramatang pada 35 minggu atau lebih. Lebih ramai wanita yang mempunyai SSC dengan bayi mereka masih menyusukan anak pada satu hingga empat bulan selepas melahirkan (14 kajian, 887 wanita, kualiti bukti - sederhana).Ibu yang mempunyai SSC menyusukan bayi mereka lebih lama, secara purata 60 hari lebih lama (enam kajian, 264 wanita, kualiti bukti - rendah)Bayi yang dapat SSC lebih cenderung disusui dengan jayanya semasa kali pertama penyusuan (lima kajian, 575 wanita). Bayi yang dapat SSC mempunyai paras glukosa darah yang lebih tinggi (tiga kajian, 144 wanita, kualiti bukti - rendah),tetapi mempunyai suhu yang sama dengan bayi dalam penjagaan piawai (enam kajian, 558 wanita, kualiti bukti - rendah).Kami mendapati terlalu sedikit bayi dalam kajian yang dimasukkan dan kualiti bukti adalah terlalu rendah untuk membolehkan keyakinan dengan keputusan bagi bayi.
Wanita yang bersalin secara cesarean mungkin mendapat manfaat daripada SSC awal, dengan lebih ramai wanita berjaya menyusu dan masih menyusukan pada satu hingga empat bulan (empat belas kajian, 887 wanita, kualiti bukti - sederhana), tetapi kajian terhadap wanita tidak mencukupi untuk kita meyakini keputusan ini.
Kami dapati tiada manfaat jelas untuk SSC segera berbanding SSC selepas bayi dicuci dan diperiksa. Kami juga tidak mendapati sebarang kelebihan yang jelas jangka masa SCC yang lebih lama (lebih dari satu jam) berbanding dengan kurang daripada satu jam. Kajian di masa hadapan dengan lebih ramai wanita dan bayi mungkin boleh membantu menjawab persoalan ini dengan yakin.
SSC ditakrifkan dengan pelbagai cara dan skala serta masa yang berlainan diguna untuk mengukur hasil yang berbeza. Wanita dan kakitangan menyedari yang mereka sedang dikaji dan wanita dalam kumpulan penjagaan piawai menpunyai pelbagai peringkat sokongan bagi penyusuan ibu. Perbezaan ini membawa kepada variasi yang luas dalam penemuan dan kualiti bukti yang lebih rendah. Kebanyakan kajian adalah kecil dengan kurang dari 100 wanita yang mengambil bahagian.
Apakah maksud ini?
Bukti daripada semakan yang dikemaskini ini menyokong SSC segera atau awal untuk menggalakkan penyusuan ibu. Ini penting kerana kami tahu penyusuan ibu membantu bayi mengelak penyakit dan kekal sihat. Wanita yang bersalin secara cesarean mungkin mendapat manfaat daripada SSC awal tetapi kami memerlukan lebih banyak kajian untuk mengesahkannya. Kami masih tidak tahu sama ada SSC awal bagi bayi sihat dapat membantu mereka membuat peralihan kepada dunia luar dengan lebih lancar selepas kelahiran, namun kajian di masa hadapan yang berkualiti mungkin boleh meningkatkan kefahaman kami. Meskipun kualiti kajian menjadi perhatian, oleh kerana kami tidak menemukan bukti mudarat dalam kajian yang dimasukkan, kami merumuskan bukti yang menyokong SSC awal patut menjadi amalan biasa bayi baru lahir yang sihat termasuklah bayi yang dilahirkan secara cesarian dan bayi yang lahir awal pada 35 minggu atau lebih.
Diterjemahkan oleh Normi Mustapha. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi normi_sbb@yahoo.com.sg. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).