Urut geseran melintang bagi merawat tendinitis lateral siku atau lutut

Soalan ulasan

Kami menjalankan kemas kini ulasan tentang kesan urut geseran melintang dalam (DTFM) untuk orang dengan tendinitis lateral siku atau lutut. Kami temui dua kajian (tiada pertambahan kajian dalam kemas kini ini) melibatkan 57 orang.

Latar belakang: Apakah tendinitis dan apakah urut geseran tendon dalam?

Tendon adalah struktur fibrosa yang menyambungkan otot kepada tulang. Tendinitis pada asasnya dilihat apabila tendon mengalami keradangan (bengkak yang sakit). Keradangan adalah akibat tekanan berlebihan kepada tendon yang disebabkan oleh pergerakan berulang. Hal ini menyebabkan sendi siku atau lutut sakit dan kaku.

Urut geseran melintang dalam (DTFM) adalah teknik terapi fizikal yang kerap diguna untuk mengurangkan kerosakan dan parut yang disebabkan oleh keradangan. Ia meningkatkan aliran darah kepada sendi, yang membantu penyembuhan tendon dengan meningkatkan bekalan oksigen ke bahagian kecederaan.

Ciri-ciri kajian

Satu kajian bertempoh lima minggu mengulas (1) kesan urut geseran melintang dalam digabung dengan ultrasound terapeutik dan minyak plasebo berbanding ultrasound terapeutik dan minyak plasebo dalam kalangan 20 orang dengan tendinitis lateral siku (tennis elbow), dan (2) kesan urut geseran melintang dalam digabung dengan ‘phonophoresis’ berbanding ‘phonophoresis’ sahaja dalam kalangan 20 orang dengan tendinitis lateral siku (tennis elbow). Kajian yang satu lagi,bertempoh dua minggu, mengulas kesan urut geseran melintang dalam dengan intervensi terapi fizikal berbanding intervensi terapi fizikal sahaja dalam kalangan 17 orang dengan tendinitis lateral lutut.

Keputusan utama

Apakah yang berlaku kepada mereka dengan tendinitis lateral siku (tennis elbow) yang dirawat dengan urut geseran melintang dalam?

• Kami tidak pasti sama ada urut geseran melintang dalam memperbaik sakit dan fungsi (kualiti bukti sangat rendah).

• Tiada kajian melaporkan kelegaan sakit sebanyak 30% atau lebih, kualiti hidup, penilaian global pesakit, kesan buruk, dan penarikan diri akibat kesan buruk.

Kami sering tidak mempunyai maklumat yang tepat tentang kesan sampingan dan komplikasi. Hal ini benar terutama kesan sampingan yang jarang terjadi tetapi serius.

Apakah yang berlaku kepada orang dengan tendinitis lutut lateral yang dirawat dengan urut geseran melintang dalam?

• Kami tidak pasti sama ada urut geseran melintang dalam memperbaik sakit (kualiti bukti sangat rendah).

• Tiada kajian yang melaporkan kelegaan sakit sebanyak 30% atau lebih, fungsi, kualiti hidup, penilaian global pesakit, kesan buruk, dan penarikan diri akibat kesan buruk.

Kami sering tidak mempunyai maklumat yang tepat tentang kesan sampingan dan komplikasi. Hal ini benar terutama kesan sampingan yang jarang terjadi tetapi serius.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Irma Wati Ngadimon. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia

Tools
Information