Urutan geseran melintang bagi merawat tendinitis tepi siku atau tendinitis tepi lutut

Soalan ulasan

Kami telah menjalankan kemas kini ulasan tentang kesan urut geseran melintang (DTFM) terhadap individu yang mempunyai tendinitis tepi siku atau tendinitis tepi lutut. Kami telah menemui dua kajian (tiada pertambahan kajian dalam kemas kini ini) melibatkan 57 orang.

Latar belakang: Apakah tendinitis dan apakah urut geseran tendon dalam?

Tendon adalah struktur fibrosa yang menyambungkan otot kepada tulang. Tendinitis pada asasnya dilihat apabila tendon mengalami keradangan (bengkak yang menyakitkan). Keradangan adalah disebabkan oleh tekanan yang berlebihan terhadap tendon yang disebabkan oleh pergerakan yang berulang-ulang. Hal ini menyebabkan kesakitan dan kekakuan pada sendi seperti siku atau lutut.

Urut geseran melintang dalam (DTFM) adalah teknik terapi fizikal yang kerap digunakan untuk mengurangkan kerosakan dan parut yang disebabkan oleh keradangan. Ia meningkatkan aliran darah kepada sendi, yang membantu penyembuhan tendon dengan meningkatkan bekalan oksigen yang dibawa ke tempat kecederaan.

Ciri-ciri kajian

Satu kajian dengan tempoh lima minggu telah mengulas (1) kesan urut geseran melintang dalam digabungkan dengan ultrasound terapeutik dan minyak plasebo berbanding dengan ultrasound terapeutik dan minyak plasebo dalam 20 individu yang mempunyai tendinitis tepi siku (tennis elbow), termasuk (2) kesan urut geseran melintang dalam digabungkan dengan phonophoresis berbanding dengan phonophoresis sahaja dalam 20 orang yang mempunya tendinitis tepi siku (tennis elbow). Kajian lain, dengan tempoh dua minggu, telah mengulas kesan urut geseran melintang dalam dengan intervensi terapi fizikal berbanding dengan intervensi terapi fizikal sahaja dalam 17 individu yang mempunyai tendinitis tepi lutut.

Keputusan-keputusan utama

Apakah yang berlaku kepada mereka yang mempunyai tendinitis tepi siku (tennis elbow) yang dirawat dengan urut geseran melintang dalam?

• Kami amat kurang pasti sama ada urut geseran melintang bagi mengurangkan kesakitan dan fungsi (kualiti bukti yang sangat rendah).

• Tiada kajian melaporkan kelegaan kesakitan sebanyak 30% atau lebih, kualiti hidup, penilaian global pesakit, kesan buruk, dan penarikan diri disebabkan oleh kesan buruk.

Kami sering kali tidak mempunyai maklumat yang tepat tentang kesan sampingan dan komplikasi. Hal ini terutamanya terhadap maklumat untuk kesan sampingan yang jarang terjadi tetapi serius.

Apakah yang berlaku kepada individu yang mempunyai tendinitis tepi lutut yang telah dirawat dengan urut geseran melintang dalam?

• Kami kurang pasti sama ada urut geseran melintang dalam memperbaiki kesakitan (kualiti bukti yang sangat rendah).

• Tiada kajian yang melaporkan kelegaan sakit sebanyak 30% atau lebih, fungsi, kualiti hidup, penilaian global pesakit, kesan buruk, dan penarikan diri disebabkan oleh kesan buruk.

Kami sering kali tidak mempunyai maklumat yang tepat tentang kesan sampingan dan komplikasi. Hal ini terutamanya terhadap maklumat untuk kesan sampingan yang jarang terjadi tetapi serius.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Rosnani Zakaria(Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information