Matlamat ulasan
Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui bagaimana untuk memperbaiki cara doktor yang bekerja di persekitaran hospital mempreskripsikan antibiotik. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan mendapati 221 kajian.
Mesej utama
Penggunaan suatu polisi antibiotik membawa kepada penambah baik amalan preskripsi dan mengurangkan tempoh rawatan antibiotik.
Intervensi yang ditujukan kepada doktor untuk memperbaiki amalan preskripsi antibiotik mereka mengurangkan tempoh inap peserta di hospital sebanyak 1.12 hari (berdasarkan penemuan daripada 15 kajian) dan tidak meningkatkan risiko kematian (berdasarkan penemuan daripada 29 kajian). Intervensi yang memberi nasihat atau maklumbalas kepada doktor adalah lebih berkesan dalam menambah baik amalan preskripsi daripada intervensi yang tidak menyediakan maklumat ini kepada doktor. Bukti daripada tujuh kajian menimbulkan kebimbangan bahawa apabila intervensi yang menggunakan peraturan-peraturan untuk membuat doktor mempreskripsi dengan betul dilaksanakan, terdapat kelewatan dalam rawatan dan kehilangan kepercayaan antara pakar-pakar jangkitan dan pasukan klinikal.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Antibiotik digunakan untuk merawat jangkitan bakteria seperti pneumonia. Banyak bakteria telah menjadi resistan terhadap antibiotik dari semasa ke semasa. Resistan antibiotik adalah satu masalah serius bagi pesakit dan sistem penjagaan kesihatan kerana jangkitan oleh bakteria yang resistan antibiotik boleh membawa kepada peningkatan kadar kematian dan tempoh inap di hospital yang lebih panjang. Resistan bakteria sering berlaku kerana antibiotik digunakan apabila ia tidak diperlukan. Kajian-kajian telah menunjukkan bahawa kira-kira separuh daripada kes-kes doktor di hospital tidak memperskripsi antibiotik dengan betul.
Kami menyiasat keberkesanan dan keselamatan intervensi untuk membantu doktor mempreskripsi antibiotik dengan betul dan teknik perubahan tingkah laku manakah dapat mempengaruhi kejayaan intervensi.
Keputusan utama
Kami mendapati 221 kajian yang relevan. Sembilan puluh enam kajian adalah dari Amerika Utara. Seratus dua puluh lima kajian selebihnya adalah daripada Eropah (87), Asia (19), Amerika Selatan (8), Australia (8), dan Asia Timur (3). Kajian-kajian ini menguji intervensi yang digolongkan secara umum kepada dua kategori: teknik-teknik restriktif yang mengaplikasi syarat untuk membuat doktor mempreskripsi dengan betul, dan teknik-teknik yang membolehkan, yang memberi nasihat atau maklum balas untuk membantu doktor mempreskripsi dengan betul.
Kami mendapat bukti kepastian tinggi bahawa intervensi-intervensi membawa kepada lebih banyak pesakit hospital menerima rawatan yang sesuai untuk keadaan mereka menurut polisi preskripsi antibiotik. Kami mendapat bukti kepastian sederhana bahawa intervensi-intervensi mengurangkan tempoh inap di hospital tanpa meningkatkan kematian pesakit. Kedua-dua teknik restriktif dan pembolehan berjaya mencapai keberkesanan intervensi. Kami tidak memerlukan lebih banyak kajian untuk menjawab persoalan sama ada semua intervensi ini mengurangkan penggunaan antibiotik yang tidak diperlukan, tetapi kita perlu lebih banyak penyelidikan untuk memahami akibat yang tidak disengajakan hasil daripada penggunaan intervensi restriktif.
Intervensi-intervensi telah berjaya mengurangkan penggunaan antibiotik yang tidak perlu di hospital, walaupun pada hakikatnya majoriti tidak menggunakan teknik perubahan tingkah laku yang diterima dengan meluas, iaitu dengan menjalankan audit dan memberi maklum balas tentang prestasi. Komunikasi keputusan ulasan yang berkesan boleh membawa kepada impak yang besar ke atas perkhidmatan kesihatan dan polisi.
Adakah ulasan ini terkini?
Kami mencari kajian diterbitkan sehingga Januari 2015.
Diterjemahkan oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi mltan@pmc.edu.my