Soalan ulasan
Laluan pantas penjagaan jantung melibatkan pembuangan awal, dalam jangka masa lapan jam selepas pembedahan jantung, tiub yang memberikan sokongan pernafasan mekanikal (dipanggil extubation trakea awal) yang membolehkan pembedahan jantung dilakukan. Ulasan ini mengkaji bukti tentang keberkesanan dan keselamatan penjagaan laluan pantas berbanding dengan penjagaan konvensional (bukan laluan pantas). Kami telah mengemaskini bukti yang diterbitkan yang dikenalpasti pada tahun 2012. Bukti adalah terkini sehingga Mac 2016.
Latar belakang
Sebelum ini, orang dewasa diberi bius berasaskan dos opioid yang tinggi untuk pembedahan jantung dan diberikan sokongan pernafasan mekanikal semalaman di unit rawatan rapi selepas pembedahan. Kini, banyak unit pembedahan mengeluarkan tiub yang memberi sokongan pernafasan mekanikal apabila pesakit berada di meja pembedahan atau dalam beberapa jam selepas pembedahan jantung. Mereka menggunakan protokol berdasarkan masa untuk memberhentikan sokongan pernafasan. Sesetengah pesakit sedar di unit rawatan rapi (ICU) atau di unit khusus di luar ICU. Adalah penting untuk meningkatkan kecekapan hospital dengan menggunakan intervensi laluan pantas yang selamat.
Ciri-ciri kajian
Kami menjumpai 28 kajian rawak terkawal yang berkaitan, yang dijalankan antara 1994 dan 2015. Kebanyakan daripada 4438 orang dewasa yang mengambil bahagian dalam kajian ini telah menjalani pembedahan pintasan atau penggantian injap arteri koronari elektif kali pertama, atau kedua-duanya. Mereka berada pada risiko kematian yang rendah hingga sederhana selepas pembedahan. Lapan belas kajian mengkaji penggunaan anestesia penuh berasaskan opioid dos rendah. Enam belas kajian menilai keberkesanan protokol dalam membimbing kakitangan untuk mengeluarkan tiub yang memberikan sokongan pernafasan dalam tempoh lapan jam selepas pembedahan.
Penemuan utama dan kualiti bukti
Kami mendapati tiada perbezaan dalam risiko kematian pada tahun pertama selepas pembedahan (18 kajian, 3796 peserta) mahupun dalam komplikasi selepas pembedahan seperti keperluan untuk menggantikan tiub trakea selepas pembedahan (17 kajian, 1855 peserta) dan kejadian infarksi miokardium (16 percubaan, 3061 peserta) atau strok (16 kajian, 2208 peserta), apabila kami memeriksa kedua-dua jenis intervensi. Kejadian kegagalan buah pinggang akut, pendarahan besar, sepsis dan jangkitan di tempat pembedahan juga tidak berbeza. Kami menilai kualiti bukti sebagai rendah untuk kematian dan komplikasi selepas pembedahan.
Tiub trakea dikeluarkan daripada orang dewasa dalam kumpulan lalauan penjagaan pantas sehingga setengah hari lebih awal daripada mereka dalam kumpulan penjagaan konvensional. Kumpulan pantas menghabiskan lebih sedikit masa di unit rawatan rapi, tetapi tempoh masa yang dihabiskan di hospital adalah serupa di antara kedua kumpulan. Kualiti bukti adalah rendah kerana batasan kajian dan variasi yang tidak dapat dijelaskan di dalam dapatan-dapatan kajian. Kajian besar hanya sedikit, dan hanya satu kajian direka untuk mengkaji infarksi miokardium, strok atau kematian selepas pembedahan.
Keputusan kami tidak merujuk kepada pesakit 'berisiko tinggi' yang mempunyai pelbagai masalah kesihatan serentak atau pada tetapan di mana opioid jangka pendek (remifentanil) digunakan untuk bius penuh.
Kesimpulan
Laluan pantas penjagaan jantung adalah selamat untuk pesakit yang dikategorikan sebagai berisiko kematian rendah hingga sederhana selepas pembedahan .
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Universiti Malaya). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).