Adakah ubat penurun tekanan darah membantu melindungi buah pinggang yang dipindahkan dan membantu mencegah komplikasi berkaitan jantung?

Mesej utama

- Penyekat saluran kalsium, ubat yang diberikan kepada orang yang menjalani pemindahan buah pinggang untuk menurunkan tekanan darah mereka, mungkin menghalang kematian dan kehilangan buah pinggang yang dipindahkan tetapi boleh memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada fungsi buah pinggang dibandingkan dengan plasebo (ubat dummy) atau penjagaan biasa.

- Ubat penurun tekanan darah, perencat enzim penukar angiotensin dan penyekat reseptor angiotensin, boleh menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan kepada kematian, kehilangan buah pinggang yang dipindahkan atau fungsi buah pinggang.

- Kami tidak pasti sama ada ubat tekanan darah yang lain berfaedah atau mengakibatkan kesan tidak diingini.

Mengapa merawat tekanan darah pada orang yang telah menerima pemindahan buah pinggang ?

Tekanan darah tinggi (hipertensi) sering berlaku pada orang yang telah menerima pemindahan buah pinggang. Ini menjejaskan saluran darah dan boleh menyebabkan serangan jantung, angin ahmar, atau gangguan bekalan darah ke organ yang lain, termasuk buah pinggang yang dipindahkan itu sendiri, yang boleh menyebabkan kehilangan buah pinggang yang dipindahkan. Ubat tekanan darah (juga dikenali sebagai antihipertensi) digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi dan bertujuan untuk menurunkan tekanan darah ke tahap yang sihat. Ubat penurun tekanan darah utama yang diberikan kepada orang yang telah menerima pemindahan buah pinggang adalah penyekat saluran kalsium, perencat enzim penukar angiotensin dan penyekat reseptor angiotensin.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada ubat penurun tekanan darah yang diberikan kepada orang yang menjalani pemindahan buah pinggang menghalang kematian dan kehilangan buah pinggang yang dipindahkan dan menambahbaik fungsi buah pinggang, berbanding plasebo (ubat dummy).

Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kesemua kajian yang telah menilai manfaat dan bahaya ubat-ubatan penurunan tekanan darah untuk merawat orang yang menerima pemindahan buah pinggang. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap maklumat tersebut berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?
Kami menemui 97 kajian melibatkan 8706 orang dengan pemindahan buah pinggang. Kajian terbesar melibatkan 820 orang, dan kajian terkecil melibatkan 9 orang. Kajian dijalankan di seluruh dunia; kebanyakannya dilakukan di Eropah (49). Kebanyakan kajian berlangsung sekitar 12 bulan, dengan julat dari 2 minggu hingga 5 tahun. Syarikat farmaseutikal membiayai 26 daripada kajian tersebut.

- Penyekat saluran kalsium mungkin mencegah kematian dan kehilangan buah pinggang yang dipindahkan. Walau bagaimanapun, mereka boleh membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam mencegah penolakan buah pinggang yang dipindahkan atau meningkatkan fungsi buah pinggang.

- Perencat enzim penukar angiotensin dan penyekat reseptor angiotensin boleh membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam mencegah kematian, penolakan, atau kehilangan buah pinggang yang dipindahkan atau dalam meningkatkan fungsi buah pinggang.

- Kami tidak pasti tentang kesan ubat penurun tekanan darah yang lain.

Apakah batasan bukti?

Kami cukup yakin bahawa penyekat saluran kalsium mencegah kematian disebabkan oleh sebarang akibat dan kehilangan buah pinggang yang dipindahkan; walau bagaimanapun, kami kurang yakin mereka boleh mencegah penolakan buah pinggang atau menambahbaik fungsi buah pinggang kerana kebimbangan tentang cara beberapa kajian dijalankan.

Kami kurang yakin dengan keputusan ubat penurun tekanan darah yang lain kerana bilangan kajian yang disertakan kecil dan kebimbangan tentang bagaimana beberapa kajian dijalankan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Julai 2024.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information