Suplemen mikronutrien untuk orang dewasa tidak hamil yang dijangkiti HIV

Para penyelidik Cochrane menjalankan ulasan tentang kesan-kesan suplemen mikronutrien bagi orang yang hidup dengan HIV. Ini adalah kemaskini bagi Ulasan Cochrane yang telah diterbitkan pada 2010. Setelah mencari kajian-kajian yang relevan sehingga 18 November 2016, penulis telah memasukkan 33 kajian. Tiga belas kajian ini termasuklah orang yang tidak menerima rawatan HIV dan telah dilaksanakan di Thailand, Peru, dan lapan negara Afrika. Sembilan belas kajian termasuk orang dengan rawatan HIV dan telah dilaksanakan di Amerika Utara, Eropah, Brazil, Singapura, Thailand, Botswana, dan Uganda. Satu kajian dari China tidak menyatakan sama ada orang yang hidup dengan HIV sedang dalam rawatan atau tidak. Beberapa kajian telah melihat kesan pengambilan suplemen dengan pelbagai mikronutrien manakala yang lain melihat suplemen dengan vitamin atau mineral tunggal.

Apakah suplemen mikronutrien dan bagaimana ia dapat membantu orang yang dijangkiti HIV?

Suplemen mikronutrien mengandungi vitamin atau mineral, atau kedua-duanya, yang penting untuk kesihatan yang baik. Banyak vitamin memainkan peranan penting dalam mengekalkan sistem imun manusia, yang membantu untuk melawan jangkitan.

Jangkitan HIV menyebabkan kemusnahan yang berterusan sistem imun, yang mendedahkan orang kepada jangkitan yang kerap. Ramai orang yang hidup dengan HIV, terutama di negara-negara berpendapatan rendah mengalami kekurangan zat makanan dan banyak mengambil diet kurang mikronutrien. Suplemen boleh membantu mereka yang hidup dengan HIV untuk kekal sihat dengan lebih lama dengan mengukuhkan sistem imun mereka atau membantu pemulihan daripada jangkitan.

Apakah yang dinyatakan oleh kajian

Mikronutrien pelbagai

Menyediakan suplemen harian yang mengandungi pelbagai vitamin dan mineral mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap pengurangan dalam kematian dalam orang yang hidup dengan HIV, sama ada mereka mengambil ubat antiretroviral atau tidak (kepastian bukti yang rendah). Suplemen setiap hari mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pada perkembangan penyakit HIV seperti yang diukur dengan kiraan CD4 sel (kepastian bukti yang rendah) atau HIV beban virus (kepastian bukti yang rendah atau sederhana).

Mikronutrien tunggal atau berganda

Kita tidak tahu sama ada suplemen yang mengandungi vitamin atau mineral tunggal dapat mengurangkan kematian (bukti kepastian yang sangat rendah) atau memperlahankan perkembangan penyakit (kepastian bukti sangat rendah / rendah) pada orang yang hidup dengan HIV. Mengambil suplemen vitamin A, D, zink, atau selenium boleh meningkatkan tahap setiap vitamin dalam darah seseorang, terutama mereka yang mempunyai tahap rendah sebelum diberikan suplemen (kepastian bukti yang rendah/sederhana).

Penemuan ini tidak bermaksud bahawa pengambilan makanan yang mencukupi bagi orang yang dijangkiti HIV tidak penting. Ia juga bukan alasan untuk menafikan suplemen mikronutrien bagi mereka dalam kekurangan yang dibuktikan dalam klinikal, atau tidak mungkin mencapai elaun harian vitamin dan mineral sebagaimana yang disyorkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information