Penyekat saluran kalsium berbanding kelas ubat lain untuk hipertensi

Apakah matlamat ulasan ini?

Dalam kemas kini pertama ulasan yang diterbitkan pada tahun 2010, kami ingin mengetahui sama ada penyekat saluran kalsium (CCB) boleh menghalang kejadian kardiovaskular yang berbahaya seperti strok, serangan jantung, dan kegagalan jantung apabila dibandingkan dengan ubat antihipertensi (penurun tekanan darah) yang lain digunakan untuk individu yang mengalami tekanan darah tinggi (hipertensi).

Latar belakang

Penurunan tekanan darah tinggi yang sesuai pada individu dengan hipertensi boleh mengurangkan jumlah komplikasi utama hipertensi, seperti strok, serangan jantung, kegagalan jantung kongestif, dan juga kematian. CCB digunakan sebagai ubat barisan pertama menurunkan tekanan darah, tetapi sama ada ini cara terbaik untuk mengurangkan kejadian kardiovaskular yang berbahaya masih diperdebatkan.

Tarikh carian

Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan sehingga 01 September 2020.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui 23 kajian berkaitan dijalankan di Eropah, Amerika Utara, Oceania, Israel, dan Jepun. Kajian membandingkan rawatan dengan CCB berbanding rawatan dengan kelas ubat penurun tekanan darah lain pada orang yang mengalami hipertensi dan melibatkan 153,849 peserta. Susulan peserta kajian adalah antara 2 hingga 5.3 tahun.

Keputusan utama

Tiada perbezaan dalam kematian daripada semua sebab antara CCB dan ubat penurun tekanan darah yang lain. Diuretik mungkin lebih banyak mengurangkan jumlah kejadian kardiovaskular dan kegagalan jantung kongestif daripada CCB. CCB mungkin lebih banyak mengurangkan jumlah kejadian kardiovaskular daripada penyekat beta. CCB mengurangkan strok jika dibandingkan dengan perencat enzim penukar angiotensin (ACE) dan mengurangkan serangan jantung jika dibandingkan dengan penyekat reseptor angiotensin (ARB), tetapi meningkatkan kegagalan jantung kongestif apabila dibandingkan dengan perencat ACE dan ARB.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti sebagai kebanyakannya sederhana, namun lebih banyak kajian adalah wajar.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nor Akma Binti Mat Junoh (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information