Pada kebiasaannya, kakitangan kesihatan dan pengunjung tempat penjagaan bayi yang baru lahir dan unit rawatan rapi bayi akan memakai gaun untuk mengelakkan jangkitan kuman. Terdapat anggapan bahawa pemakaian gaun juga dapat mengingatkan orang untuk mencuci tangan, yang sememangnya terbukti untuk mencegah jangkitan. Ulasan sumber kajian perubatan telah mengenalpasti lapan kajian klinikal tentang pemakaian gaun dalam situasi ini, yang melibatkan 3811 bayi baru lahir. Kadar jangkitan, kadar kematian, atau kadar tempoh bayi di dalam hospital tidak berubah begitu ketara dengan pemakaian gaun. Hanya dua daripada kajian itu berkualiti tinggi, dan terdapat perbezaan polisi pemakaian gaun antara kajian. Pemakaian gaun tidak meningkatkan kadar kekerapan mencuci tangan. Tidak ada bukti untuk menyokong penggunaan gaun oleh kakitangan kesihatan untuk mengurangkan penyebaran jangkitan. Berdasarkan kajian-kajian ini, polisi pemakaian gaun dalam situasi ini mungkin tidak kos efektif.
Diterjemahkan oleh Muhammad Zaki Hilmi Bin Zainal Abidin (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campusl). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my