Terapi perubatan pra- dan pascabedah untuk pembedahan endometriosis

Soalan ulasan

Apakah kesan terapi penindasan hormon perubatan yang diberikan sebelum atau selepas (atau kedua-duanya) rawatan pembedahan endometriosis berbanding dengan pembedahan sahaja atau terapi perubatan sebelum atau selepas (atau kedua-duanya) pembedahan?

Latar belakang

Dalam endometriosis, tisu seperti lapisan rahim mula tumbuh di tempat lain, seperti ovari dan tiub fallopio. Ia menjejaskan 10% hingga 15% wanita pada usia reproduktif, dan boleh menyebabkan sakit di bahagian bawah perut (sakit pelvis) atau belakang (yang biasanya bertambah buruk semasa tempoh haid), hubungan seksual yang menyakitkan, dan kesukaran untuk hamil.

Rawatan untuk menurunkan tahap hormon pembiakan (disebut terapi penindasan hormon perubatan) adalah biasa untuk mengurangkan ukuran tisu endometrium bersama dengan pembedahan untuk membuangnya. Terapi perubatan dapat mengurangkan rasa sakit atau kemunculannya semula, mengurangkan kadar penyakit berulang (kemungkinan ia kembali), dan meningkatkan kadar kehamilan. Potensi manfaat ubat bergantung pada sama ada ia diberikan sebelum atau selepas pembedahan untuk endometriosis, tetapi bukti adalah tidak jelas.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati 25 kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana peserta dimasukkan ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan secara rawak) dengan 3378 wanita yang menjalani pembedahan dengan atau tanpa terapi perubatan. Kami menggunakan istilah "pembedahan sahaja" untuk merujuk kepada plasebo atau tidak ada terapi perubatan. Bukti adalah terkini sehingga November 2019.

Keputusan utama

Terapi perubatan menunjukkan kesan yang pelbagai terhadap kesakitan, kemunculan semula kesakitan atau penyakit, dan kadar kehamilan ketika digunakan sebelum atau selepas pembedahan untuk endometriosis. Namun begitu, untuk hasil penyakit berulangan dan kehamilan, ia mungkin paling berkesan selepas pembedahan berbanding pembedahan sahaja berbanding dengan perbandingan lain yang diulas.

Terapi perubatan sebelum pembedahan dibandingkan dengan terapi plasebo atau tidak ada terapi perubatan

Bukti yang sangat lemah menunjukkan bahawa jika sakit pelvis berulang pada 12 bulan atau kurang adalah 24% dalam kalangan wanita yang menjalani pembedahan sahaja, kemungkinan terapi perubatan sebelum pembedahan adalah antara 17% dan 40%.

Bukti yang sangat lemah menunjukkan bahawa jika penyakit berulang pada 12 bulan atau kurang adalah 45% dalam kalangan wanita yang menjalani pembedahan sahaja, kemungkinan terapi perubatan sebelum pembedahan adalah antara 39% dan 65%.

Bukti yang sangat lemah menunjukkan bahawa jika kadar kehamilan adalah 58% dalam kalangan wanita yang menjalani pembedahan sahaja, kemungkinan terapi perubatan sebelum pembedahan adalah antara 53% dan 79%.

Terapi perubatan selepas pembedahan dibandingkan dengan terapi plasebo atau tidak ada terapi perubatan

Bukti yang lemah menunjukkan bahawa jika kesakitan berulang pada 12 bulan atau kurang adalah 26% dalam kalangan wanita yang menjalani pembedahan sahaja, kemungkinan terapi perubatan selepas pembedahan adalah antara 13% dan 24%.

Bukti yang lemah menunjukkan bahawa jika penyakit berulang pada 12 bulan atau kurang adalah 17% dalam kalangan wanita yang menjalani pembedahan sahaja, kemungkinan terapi perubatan selepas pembedahan adalah antara 3% dan 9%.

Bukti yang sangat lemah menunjukkan bahawa jika penyakit berulang pada 12 bulan atau kurang (pengelasan lain yang digunakan) adalah 45% dalam kalangan wanita yang menjalani pembedahan sahaja, kemungkinan terapi perubatan selepas pembedahan adalah antara 30% dan 52%.

Bukti yang sederhana menunjukkan bahawa jika kadar kehamilan adalah 34% dalam kalangan wanita yang menjalani pembedahan sahaja, kemungkinan terapi perubatan selepas pembedahan adalah antara 35% dan 48%.

Terapi perubatan sebelum pembedahan dibandingkan dengan terapi perubatan selepas pembedahan

Bukti yang lemah menunjukkan bahawa jika sakit pelvis berulang pada 12 bulan atau kurang adalah 20% dalam kalangan wanita yang menjalani terapi perubatan selepas pembedahan, kemungkinan terapi perubatan sebelum pembedahan adalah antara 19% dan 41%.

Bukti yang sangat lemah menunjukkan bahawa jika penyakit berulang pada 12 bulan atau kurang adalah 40% dalam kalangan wanita yang menjalani terapi perubatan selepas pembedahan, kemungkinan terapi perubatan sebelum pembedahan adalah antara 39% dan 66%.

Bukti yang sangat lemah menunjukkan bahawa jika kadar kehamilan adalah 60% dalam kalangan wanita yang menjalani terapi perubatan selepas pembedahan, kemungkinan terapi perubatan sebelum pembedahan adalah antara 54% dan 78%.

Kualiti bukti

Bukti adalah berkualiti sangat rendah hingga sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information