Soalan ulasan
Adakah intervensi farmakologi, psikologi, rangsangan otak tidak invasif atau kombinasi intervensi-intervensi ini mencegah kemurungan dan menambah baik hasil selepas serangan angin ahmar?
Latar belakang
Peranan intervensi untuk mencegah kemurungan selepas serangan angin ahmar adalah tidak jelas. Kemurungan adalah komplikasi biasa dan penting selepas serangan angin ahmar yang sering terlepas pandang atau diuruskan dengan tidak betul. Tidak banyak yang diketahui mengenai sama ada strategi pencegahan yang dimulakan dari awal selepas serangan angin ahmar akan mengurangkan risiko kemurungan dan menambah baik pemulihan bagi mereka yang tidak murung pada masa penilaian.
Carian tarikh
Kami mengenal pasti kajian dengan menggunakan carian yang dijalankan pada 13 Ogos 2018.
Ciri-ciri kajian
Kami menyertakan kajian yang melaporkan penggunaan intervensi farmakologi dan psikologi untuk mencegah kemurungan selepas serangan angin ahmar. Purata usia peserta adalah antara 55 hingga 73 tahun. Kajian adalah dari Asia (3), Eropah (8), Amerika Utara (5), dan Australia (3).
Keputusan utama
Kami menyertakan 19 kajian (12 farmakologi dan tujuh psikologi) melibatkan 1771 peserta. Maklumat hasil tersedia untuk sembilan kajian farmakologi dan dua kajian psikologi, yang menunjukkan rawatan-rawatan ini mungkin mengurangkan risiko untuk mengalami kemurungan. Sebilangan kecil kajian (lapan kajian farmakologi dan lima kajian psikologi) menemui tiada peningkatan kematian atau peristiwa buruk.
Kepastian bukti
Kami menilaikan kepastian bukti sebagai sangat rendah kerana batasan dalam reka bentuk kajian.
Kesimpulan
Keupayaan kami untuk mengeneralisasikan penemuan-penemuan ini kepada semua mangsa serangan angin ahmar adalah terhad kerana sebahagian kecil mangsa sahaja yang layak untuk menyertai kajian-kajian klinikal ini. Kajian klinikal yang dirancang dengan lebih baik diperlukan yang menguji intervensi praktikal untuk mencegah kemurungan bagi semua mangsa serangan angin ahmar.
Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my